RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Kilauan seni kraf kristal Langkawi

Posted: 03 Jun 2012 09:52 PM PDT



BAHANG api di dalam tanur yang digunakan untuk membakar, begitu pantas dirasai sebaik kaki mula melangkah ke bengkel pembuatan kristal di Kompleks Kraf Langkawi, Pulau Langkawi.

Beberapa pekerja begitu tekun menjalankan tugas masing-masing. Keringat yang mengalir di dahi hingga membasahkan kemeja T yang dipakai langsung tidak dipedulikan, sebaliknya mereka terus ligat menyiapkan tempahan yang diterima.

Salah seorang daripada mereka ialah Mohd. Zaidi Zinol, 33, yang sedang membentuk kraf seekor angsa sambil duduk di sebuah kerusi.

Adunan kristal pada sebuah besi khas yang sudah dilebur dan berada pada suhu 1,100 darjah Celcius itu nampak seperti mudah dibentuk. Dalam tempoh kurang seminit, sebentuk angsa kecil yang comel berjaya disiapkan Zaidi.

Proses itu secara kasarnya nampak sangat mudah kerana tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Namun, hakikatnya ia memerlukan daya kreativiti dan menuntut ketelitian yang tinggi daripada si empunya badan.

Perkara itu diakui oleh Zaidi yang sudah tiga tahun bekerja di Faizy Crystal Glass Blowing Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik bumiputera yang mengeluar dan memasarkan produk-produk kristal di dalam dan luar negara.

Menurut Zaidi, kerjaya sebagai peniup dan pembuat kristal sering berhadapan dengan cabaran yang menguji ketahanan diri terutama melibatkan kepanasan.

"Bayangkan setiap hari anda perlu menjalani rutin harian bertugas di dalam bengkel dengan kepanasan suhu api yang mencecah sehingga 1,400 darjah Celcius, iaitu suhu yang mampu meleburkan bahan logam.

"Daripada proses melebur hingga membentuk atau mengukir kristal hingga siap untuk dijual, semua tugas itu dilakukan di sana," ujar Zaidi yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang pembuatan kristal.

Tambah Zaidi, ketahanan mental dan fizikal amat penting bagi mereka yang berminat untuk menceburi kerjaya itu. Jika tidak, lupakan sahaja niat untuk menjadi seorang pembuat kraf kristal yang berjaya.

Risiko kecederaan


HINGGA kini Faizy Crystal sudah menghasilkan lebih 1,000 koleksi seni kristal dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna berdasarkan kreativiti sendiri di samping mengikut cita rasa pelanggan.


Sementara itu, rakan Zaidi, Mohd. Nawawi Mahadzir pula memberitahu, sikap berhati-hati perlu menjadi salah satu ciri utama yang wajib ada dalam diri pekerja pembuat kristal atau mereka akan berdepan risiko mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Nawawi tidak menafikan bahawa kecederaan tetap berlaku walaupun mereka sudah melakukan kerja dengan penuh cermat dan teliti.

"Sepanjang menjalankan tugas dalam menyiapkan tempahan produk-produk kristal, tidak boleh tidak, saya turut mengalami luka-luka atau kecederaan disebabkan terkena kristal atau besi panas.

"Saya sendiri sudah lali dengan situasi tersebut. Paling kurang dalam sebulan, sekali atau dua pasti akan 'merasa'. Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus bergelar peniup dan pembuat kristal.

"Apatah lagi, apabila berjaya menghasilkan hiasan kristal yang cantik, ia menjadi satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata," tutur Nawawi sambil menegaskan bahawa semangat dan minat perlu seiring untuk kekal lama dalam kerjaya tersebut.

Ternyata, butir-butir peluh yang kelihatan di wajah Nawawi seolah-olah melambangkan kekuatan anak muda itu bergelar peniup, pengukir dan pembuat kesenian kristal.

Mula ditubuhkan pada tahun 2000 dengan modal permulaan sebanyak RM30,000, kini Faizy Crystal Sdn. Bhd. semakin dikenali sebagai syarikat pengeluar kristal terkemuka bukan sahaja di Langkawi, bahkan di seluruh Malaysia. Tidak ketinggalan, jenama Faizy Crystal turut mendapat tempat di pasaran antarabangsa.

Pemiliknya, Khairul Faizy Roslan, 42, memberitahu bahawa tempahan yang diterima untuk pasaran luar negara termasuklah dari Singapura, Hong Kong, Bahrain, Maldives, Jepun, United Kingdom dan Jerman.

"Tempahan tersebut biasanya diperoleh hasil daripada lawatan pelancong ke bilik pameran yang disediakan di samping hebahan syarikat perhotelan kepada cawangan di luar negara.


PASIR silika merupakan bahan mentah utama yang diperlukan dalam pembuatan kristal.


"Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada pelancong tempatan, pengurusan hotel, jabatan kerajaan dan syarikat korporat," kata Faizy ketika ditemui Kosmo! sewaktu lawatan media anjuran Kraftangan Malaysia ke Kompleks Kraf Langkawi baru-baru ini.

Berguru di New Zealand

Mengimbau sejarah awal penglibatan Faizy dalam industri kristal, graduan lulusan Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara - UiTM) dalam jurusan Seni Lukis dan Seni Reka itu, pernah dihantar menimba ilmu di New Zealand pada tahun 1991.

Selama tiga tahun setengah mengikuti kursus Glass Blowing (Tiupan Kaca) di negara Kiwi itu, Faizy kemudian pulang ke tanah air dan bekerja dengan Langkawi Kristal yang menaja pengajiannya.

Selepas hampir tujuh tahun bersama Langkawi Kristal, akhirnya Faizy mengambil keputusan untuk berhenti bagi membuka perniagaan sendiri berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

"Alhamdulillah, ternyata tindakan yang dibuat tidak sia-sia apabila melihat kejayaan yang dikecapi jenama Faizy Crystal yang hingga kini telah menghasilkan lebih 1,000 koleksi kristal pelbagai jenis, saiz dan bentuk.

"Terbaharu, kami sedang menyiapkan tempahan replika Masjid Sultan Abu Bakar dari Johor untuk dihadiahkan kepada Perdana Menteri yang berharga antara RM1,000 hingga RM2,000. Bagi tempahan khas, ia pernah mencecah nilai RM8,000 bergantung pada rekaan dan saiznya," jelas Faizy lebih lanjut.

Dalam pada itu, Faizy turut melahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Kraftangan Malaysia yang banyak membantunya dalam mempromosi, perkembangan produk, pemasaran, khidmat nasihat serta dihantar menyertai kursus yang berkaitan.

Pasir Belanda


MENIUP kristal menggunakan besi khas merupakan rutin wajib Nawawi setiap hari.


Untuk penghasilan kristal, bahan mentah utama yang diperlukan terdiri daripada pasir silika berkualiti tinggi. Ia boleh didapati di pasaran tempatan tetapi jika mahukan konsistensi, ia perlu diimport dari Belanda.

Bahan itu kemudian akan dimasak sebanyak 50 kilogram di dalam tanur untuk dileburkan pada suhu 1,400 darjah Celcius. Suhu itu akan dikekalkan selama 12 jam. Selepas dimasak, ia perlu disejukkan sehingga suhu turun kepada 1,100 darjah Celcius.

Takat itu merupakan suhu yang paling sesuai untuk menghasilkan produk kristal. Seandainya kurang, maka pekerja akan mengalami kesukaran untuk membentuk kristal disebabkan ia sudah menjadi liat.

"Dalam tempoh seminit selepas disejukkan, kristal akan mengeras. Justeru, semua kakitangan perlu melakukan kerja dengan pantas dan spontan. Dalam aspek rekaan pula, saya tidak menetapkan secara khusus tetapi bergantung kepada kreativiti masing-masing.

"Biasanya produk akan dihasilkan daripada inspirasi alam semula jadi seperti flora dan fauna yang terdapat di negara ini," ungkap Faizy yang pernah menyertai pameran kraftangan di Jepun, Hong Kong, Jerman dan London.

Kain penyambut tengkorak

Posted: 03 Jun 2012 09:51 PM PDT



DENGAN gerakan yang cepat namun cermat, jari-jemari wanita separuh abad itu tidak berhenti mengikat benang loseng berwarna putih dengan tali plastik kalis air.

Ikatan yang merangkumkan uraian puluhan benang halus itu perlu kemas, rapat dan kejap supaya bahagian yang diikat tidak dimasuki air.

Berpandukan sekeping gambar hitam putih di hadapannya, proses mengikat benang ini diulang di bahagian lain sehinggalah tali-tali plastik itu membentuk corak seperti rebung meruncing.

"Benang perlu diikat mengikut susunan yang ditentukan. Apabila selesai kerja mengikat, benang-benang ini akan dicelup dengan pewarna asli yang diekstrak daripada tumbuhan tertentu.

"Bahagian yang diikat pula tidak akan terkena pewarna. Apabila ikatan tali plastik itu dibuka, ia akan menghasilkan corak pada benang-benang tersebut," ujar seorang penenun mahir pua kumbu, Shirley Vilin Ikok.

Pua kumbu merupakan kain tenunan tradisi masyarakat Iban di Sarawak. Ia dianggap sebagai karya eksklusif dan hanya digunakan pada masa tertentu.

Perkataan pua membawa maksud selimut sementara kumbu pula kain untuk bertudung atau berlindung daripada sejuk atau panas.

Pada zaman dahulu, wanita Iban menenun pua kumbu atas beberapa tujuan antaranya untuk menyambut 'antu pala' yang merujuk kepada kepala, tengkorak atau hantu kepala milik musuh yang berjaya dipenggal oleh suami atau kekasih mereka selepas keluar berperang atau memburu orang.

Selain itu, ia turut digunakan dalam upacara memandikan bayi, perkahwinan, ritual berkaitan ngayau dan kematian.

Orang Iban juga percaya penggunaan kain pua semasa upacara pengubatan dapat menjadi perisai yang mendinding diri bomoh daripada terkena musibah penyakit dan gangguan.

Menurut satu kajian daripada sekumpulan penyelidik di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak, yang diketuai Anna Durin, pua kumbu mempunyai sisi mistik tersendiri kerana dipercayai dapat menyembuhkan orang sakit selain menjadi perisai daripada kuasa jahat.

Ikat celup

Kain ini dihasilkan daripada tenunan benang loseng dan benang pakan yang diragamhiaskan menggunakan kaedah hias ragam tekstil tertua di dunia iaitu teknik ikat dan celup.

"Benang loseng merupakan benang panjang yang dipintal dan kemudian dimasukkan ke dalam alat tenunan yang dipanggil K. Benang pakan pula ialah benang yang disusuli ke dalam benang loseng dari kiri atau kanan penenun.

"Bunyinya seperti mudah tetapi proses menyediakan benang sebelum boleh ditenun cukup rumit.

"Penenun perlu mengira setiap helai benang sebelum diikat supaya corak yang dihasilkan sekata," ujar Shirley yang juga Koordinator Tenunan Pua Kumbu di Yayasan Tun Jugah yang terletak di Kuching, Sarawak.


HANYA penenun mahir mampu menyiapkan proses yang rumit ini.


Mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang tenunan pua kumbu, Shirley memberitahu, kain pua boleh dihasilkan dengan saiz yang besar.

"Ukurannya bergantung kepada saiz alat tenun yang digunakan secara tegang belakang. Biasanya pua kumbu yang ditenun secara tradisi akan dipotong dan dicantum di bahagian tengah untuk menjadikannya lebar dan panjang.

"Jika anda terjumpa dengan tenunan kain serupa pua kumbu tetapi saiznya kecil, itu kain Iban ikat, bukan pua kumbu," jelasnya.

Tambah Shirley, proses ikat dan celup kadangkala mengambil masa berbulan-bulan lamanya, bergantung kepada corak yang dipilih.

Kerja menenun bagi saiz biasa yang dianggarkan 186x45 sentimeter, mengambil masa sehingga 30 hari bekerja.

"Motif atau corak tenunan biasanya diambil daripada rekaan pua kumbu lama. Begitupun, ada juga penenun mahir yang boleh mereka sendiri corak sebelum menenun," katanya.

Bagi seorang pakar tenun, Siah Anak Tun Jugah, 80, corak-corak yang rumit biasanya datang daripada ilham mimpi selain inspirasi alam sekitar, gambaran dewa dan nilai keberanian orang Iban.

Motif

"Kalau dahulu, penenun sukakan corak binatang, orang dan gambaran dewa, namun hari ini sudah banyak corak baharu yang berkonsepkan bunga-bungaan dan geometri.

"Serumit mana pun rekaan corak, penenun biasanya memilih beberapa warna sahaja.

"Ada yang hanya gunakan dua warna namun darjah kecerahannya berbeza.

"Biasanya penenun akan gunakan warna merah tua, merah terang, coklat hitam, putih dan biru kelabu," ujar anak kedua kepada pemimpin Iban yang cukup disegani iaitu Tun Jugah.

Antara motif berbentuk fauna yang sering digunakan termasuklah pacat, lintah, buaya, cicak, lipan, kala jengking, burung dan ular.

"Sesuatu motif biasanya memiliki terjemahan tersendiri yang hanya difahami oleh orang Iban.

"Burung misalnya, ia melambangkan usaha yang memberi manfaat.


PUA kumbu moden yang dihasilkan menggunakan mesin semakin mudah diperoleh di sekitar Sarawak.


"Motif harimau dan tikus pula lazimnya dipilih kerana sifat kekuatan, ketegasan dan berani yang ada pada haiwan tersebut," jelasnya yang sedang menyiapkan satu lagi warisan tekstil terkenal di Sarawak iaitu kain tenunan songket.

Memetik hasil penyelidikan Anna Gurin dan kumpulannya yang bertajuk Pengaruh Ngayau Atau Headhunting Dalam Penciptaan Motif-Motif Tekstil Pua Kumbu Masyarakat Iban di Sarawak, motif-motif yang dipamerkan dalam buku pengkaji lampau seperti yang ditulis Datin Margaret Linggi yang berjudul Ties That Bind, motif-motif berkaitan ngayau memang digunakan.

"Sekiranya kita lihat dari segi bentuk rupa motif-motif tersebut maka kita agak susah mengecam secara jelas mengenai nama-nama motif kerana ia ditenun dalam bentuk abstrak.

"Penjenamaan motif pula bergantung kepada inspirasi yang diterima oleh penenun.

"Disebabkan itu, hanya penenun dan orang yang mengenali budaya menenun boleh memahami maksud yang tersimpan dalam motif berkenaan.

"Begitupun, pengaruh ngayau masih boleh dikenal pasti dalam tenunan pua kumbu.

"Antaranya, motif Lelanjang Bungai Nuing, Gumbang Besimpan, Ringka Antu Pala, Lang Tuai, Sepit Api dan motif Gajah Meram," kata Anna Durin.

Motif Lelanjang Bungai Nuing dicipta dan diberi nama sempena pengaruh dewa perang yang dipercayai tinggal di alam ghaib dan tempat tinggal itu dinamakan Panggau Libau Gegiau Takang Isang oleh masyarakat Iban.


BENANG terlebih dahulu diikat kemas dan kuat mengikut susunan corak bagi mengelak kemasukan air sebelum dicelup dengan pewarna asli.


Lelajang membawa maksud alat perhiasan kepala dewa Bungai Nuing, seorang dewa perang yang gagah, berani dan suka bercakap besar.

Selain itu, dia juga suka mendahului dewa-dewa yang lain apabila pergi berperang atau ngayau. Dipercayai juga Bungai Nuing telah mendapat banyak kepala musuh.

"Selain daripada gagah dan berani menewaskan musuh, dia juga boleh menjelma untuk membantu orang Iban yang memerlukannya jika dipuja," kata Anna lagi.

Untuk menghasilkan motif sebegini, ritual miring perlu dilakukan terlebih dahulu sebagai simbolik meminta restu daripada dewa yang motifnya dipilih untuk ditenun.

"Piring berisi kuih diletakkan diletakkan di bawah K sepanjang proses menenun mahupun menyongket.

"Miring dilakukan supaya apa yang dilakukan berjalan lancar, benang tidak putus, corak tidak lari dan orang yang menenun tidak ditimpa bala seperti tersepit tangan, tercucuk benda tajam dan sakit belakang," ujar Rebecca Ibok Jalak, 64.

Hari ini, tenunan tradisi pua kumbu semakin jarang dipraktikkan. Selain dijadikan perhiasan rumah, corak kain pua turut dijadikan pakaian tradisional seperti skirt, jaket serta kain cawat bagi kaum lelaki.

Nenek kebayan makan daging mentah

Posted: 03 Jun 2012 09:50 PM PDT


WAJAH perempuan tua yang hodoh sering digambarkan oleh mangsa histeria di sekolah di negara ini. - Gambar hiasan


WANITA itu digambarkan sebagai seorang yang sangat tua, bongkok dan mempunyai kulit wajah yang berkedut. Lenggok langkahnya yang dibantu sebatang tongkat kayu nampak tidak gagah.

Dikenali sebagai nenek kebayan, kisah wanita itu telah diperturunkan dari zaman dahulu hingga kini dalam masyarakat Melayu terutamanya dalam Hikayat Malim Deman dan Hikayat Hang Tuah.

Dalam kisah-kisah tersebut wanita itu menunjukkan watak baik. Dia menjadi perantara untuk manusia biasa berhubung dengan puteri kayangan dengan kuasa magis yang dimilikinya.

Dalam versi lain, nenek tua itu digambarkan sebagai seorang wanita yang memiliki rupa paras menakutkan dan gemar menculik kanak-kanak menerusi lirik lagu rakyat, Nenek Si Bongkok Tiga.

Dia juga terkenal sebagai penjaga Puteri Gunung Ledang yang mendiami gunung tersebut yang terletak di Ledang, Johor menerusi cerita-cerita legenda.

"Walaupun banyak versi cerita tentangnya, kewujudan nenek kebayan ini bukan dongeng semata-mata," jelas seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie.

Ilmu hitam

Nenek kebayan merupakan manusia biasa yang gemar tinggal di kawasan yang jauh di pedalaman. Dia berbuat demikian kerana gemar menyendiri akibat mengamalkan ilmu hitam untuk memperoleh kuasa.

Dia suka membantu masyarakat kampung dan golongan berkedudukan terutamanya dalam bidang perbidanan dan perubatan. Nenek kebayan dijadikan sebagai penjaga keselamatan sebahagian keluarga raja dan pembesar zaman dahulu.

"Nenek kebayan merupakan seorang bidan, bomoh dan pawang. Namun malangnya dia mengamalkan amalan syirik dalam proses perubatannya.

"Orang zaman dahulukala gemar menggunakan bantuan jin dalam upacara perubatan. Tidak hairanlah kalau nenek kebayan boleh hidup lama biarpun bersendirian di dalam hutan kerana ada makhluk lain yang berdampingan bersamanya," jelas Shamsuri.

Menurut Shamsuri, biarpun kewujudannya tidak dapat dipastikan, namun ciri-ciri yang digambarkan oleh wanita itu menjelaskan bahawa ia mampu hidup sendirian dan mempunyai kuasa sakti kerana bantuan jin tersebut.

Jika kebanyakan warga emas mengamalkan memakan ulam-ulaman mahupun sumber alam untuk kekal awet muda, berbeza pula dengan nenek kebayan apabila dia gemar memakan daging mentah.

"Nenek kebayan makan begitu banyak kerana berkongsi hidangan dengan makhluk yang mendampinginya. Dia suka makan daging mentah dan darah," tutur Shamsuri.

Hutan

Jelas Shamsuri, seiring dengan peredaran zaman dan kepercayaan masyarakat pada zaman ini yang lebih berpegang kepada ajaran Islam, kisah nenek kebayan kini sekadar menjadi cerita rakyat.

Namun, jin belaan nenek kebayan masih wujud di hutan kerana di situ tempat makhluk seperti itu berkeliaran.

"Mungkin di kawasan Semenanjung Malaysia nenek kebayan sudah tiada lagi kerana masyarakat hari ini sudah tidak mempercayai amalan seperti itu.

"Tetapi di rantau Nusantara ini mungkin masih ada nenek kebayan yang tinggal di dalam hutan bersama jinnya," jelas Shamsuri.

Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi memberitahu bahawa dia pernah 'ditegur' makhluk yang menyerupai seorang nenek tua ketika mengikuti program perkhemahan di sebuah kawasan di kepulauan Borneo.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Razali bersama beberapa orang kawannya berkhemah di sebuah kawasan yang berdekatan air terjun yang dilatari oleh hutan tebal.

"Setibanya saya di tempat itu, saya melihat suasananya begitu cantik seperti terpelihara. Ketika terlelap kerana penat selepas memasang khemah, saya terjaga kerana berdepan dengan mimpi aneh.

"Dalam mimpi itu seorang wanita tua yang bongkok dan berwajah hodoh menghampiri saya dan berkata bahawa dia membenarkan kami mandi di kawasan air terjun itu, tetapi kena menjaga tingkah laku.

"Sejurus kemudian saya tersedar. Begitu sukar untuk mengiakan sama ada ia hanya mainan tidur atau benar-benar pesanan yang disampaikan oleh orang tua itu," ujar pelajar berusia 22 tahun itu.

Resipi biskut bekas jurutera

Posted: 03 Jun 2012 09:21 PM PDT


MAJORITI kuih dan biskut keluaran Zaisara Enterprise hasil resipi ciptaan Zaiton sendiri.


HASILKAN apa yang kita suka makan, pasarkan apa yang kita suka. Berpegang pada prinsip itu, pemilik Zaisara Enterprise, Zaiton Abd Shukor, 52, menjadikan hobi membuat kuih dan biskut sebagai satu perniagaan.

Menurutnya, beliau terpaksa berhenti kerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan.

"Saya menjalankan perniagaan pada tahun 1994 dengan mengambil bekalan kuih terus dari kilang tetapi terpaksa mencari alternatif lain selepas kebanyakan pelanggan merungut biskut dan kuih yang diperoleh dari kilang itu hanya berbeza dari segi rupa tetapi rasanya sama.

"Disebabkan itu, saya membuat biskut serta kuih sendiri bermula dengan biskut almond london dan tart nanas," kata ibu kepada lapan orang anak ini.

Tambahnya, ketika itu beliau menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan sasaran pelanggan ialah saudara-mara dan rakan terdekat.

Jelasnya, beliau banyak membuat rujukan di majalah untuk memperoleh idea bagi mengolah resipi baharu selain mengikuti kelas masakan biskut dan kuih.

Kualiti

"Dalam perniagaan ini, yang penting adalah kita kena menjaga kualiti selain mempunyai identiti sendiri untuk memudahkan pelanggan mengingati produk kita.

"Setakat ini, kira-kira 20 jenis biskut dan kuih sudah saya hasilkan termasuk makanan sejuk beku yang dibuat berdasarkan permintaan pelanggan," ujarnya.

Beliau memberitahu, majoriti resipi biskut dan kuih keluarannya adalah hasil ciptaan sendiri.

Ini kerana katanya, untuk mendapatkan resipi yang bagus, pengusaha perlulah bijak bermain dengan bahan.

"Selain itu, kita juga perlu membuat biskut dan kuih dengan hati yang gembira supaya apa yang diadun itu menjadi.

"Jika kita mengadun bahan dalam keadaan marah, pasti adunan itu tidak akan menjadi," beritahu beliau.


MENURUT Zaiton, minyak jagung Daisy membuatkan produk biskutnya lebih sedap dan kelihatan menarik.


Ujarnya, semuanya bergantung kepada tangan yang menguli dan bahan yang digunakan untuk mendapatkan hasil yang bagus.

Seperti resipi biskut daisy yang dicuba sebanyak tiga kali menggunakan minyak jagung Daisy untuk hasil yang baik.

Buku resipi

"Minyak jagung Daisy menjadikan biskut dan kuih gebu serta cair di mulut selain baik untuk kesihatan.

"Pada saya, campuran oat dan kelapa dalam resipi biskut itu juga membantu memberi rasa yang enak dan kita juga tidak muak memakannya," jelasnya yang turut menggunakan minyak jagung Daisy dalam pembuatan biskut damas.

Zaiton berkata, biskut daisy sangat berbeza daripada biskut kacang tradisional kerana penampilannya yang lebih cantik dan lain daripada lain.

Tuturnya, pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuh sepanjang menjalankan perniagaan tersebut, antaranya faktor masa dalam memenuhi tempahan pelanggan.

"Kini saya sedang cuba memasarkan biskut dan kuih yang boleh dijadikan cenderahati di lokasi tumpuan umum seperti lapangan terbang.

"Ia bertujuan untuk mengubah stigma masyarakat yang beranggapan biskut dan kuih hanya laris sewaktu musim perayaan," katanya yang bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara selain menerbitkan buku resipi dan rancangan memasak sendiri.

Dzianti latih wanita berjubah

Posted: 03 Jun 2012 09:21 PM PDT


DZIANTI membuka gimnasium di Mont Kiara, Kuala Lumpur lebih dua tahun.


DAHULU, Dzianti Merican, 30, seorang yang pemalu serta tidak mempunyai keyakinan diri. Begitupun, setelah mengikuti kelas seni mempertahankan diri muay thai di Amerika Syarikat (AS), dia menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi selain tidak malu-malu lagi.

Memulakan cerita, Dzianti yang ditemui di gimnasium miliknya di Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui, kehidupannya semasa zaman persekolahan tidak seperti gadis-gadis bandar yang lain.

"Saya kurang bersosial mahupun aktif dalam kegiatan sukan di sekolah walaupun fizikal saya normal seperti gadis lain.

"Mungkin disebabkan saya anak bongsu dan jarak umur antara saya dengan dua orang kakak agak jauh, jadi kemahiran bersosial saya agak kurang," tuturnya.

Namun, di sebalik sifat pemalu itu, dia memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga layak menyambung pengajian di sebuah kolej fesyen terkenal di New York, Institute of Laboratory Merchandising.

Dzianti sememangnya seorang penggemar fesyen. Dia pasti mengikuti trend fesyen menerusi majalah dan internet.

Fesyen

"Semasa berumur 18 tahun, saya meluahkan hasrat untuk menyambung pengajian di New York. Pada mulanya ibu agak keberatan kerana khuatir saya tidak dapat menyesuaikan diri.

"Selepas memujuknya beberapa kali, akhirnya dia membenarkan saya pergi ke negara Uncle Sam itu seorang diri," ceritanya.

Lucunya, selain membawa beg berisi pakaian, sebuah lagi beg besar yang dibawa dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan segera seperti mi segera, bubur nasi, keropok dan nasi beriyani segera.

"Saya mesti makan nasi setiap hari. Walaupun melancong bersama keluarga di luar negara, menu daripada makanan ruji orang Melayu itu mesti ada.

"Sekalipun saya lebih fasih bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu, saya masih mengingati asal-usul dan berpegang teguh dengan budaya ketimuran," katanya berfalsafah.

DI SEBALIK wajahnya yang ayu, wanita ini telah terlibat dengan muay thai selama lebih 10 tahun.


Berbekalkan keazaman yang tinggi, gadis yang belum berkahwin ini bagaimanapun tewas setelah empat bulan menetap di bandar raya itu.

"Saya menganggap penduduk New York pada masa itu lebih mementingkan diri sendiri dan bersifat individualistik.

"Saya pernah terjatuh di tepi jalan akibat permukaan jalan yang licin. Kejadian itu berlaku pada satu malam yang sejuk semasa musim salji. Pada masa itu saya baru sahaja pulang daripada membeli makanan di sebuah kedai runcit.

"Tetapi tiada siapa yang ingin membantu. Saya menangis sendirian di situ selama beberapa minit," katanya.

Dzianti tidak mempunyai ramai kawan di New York dan hari-hari yang dilaluinya terasa begitu menyeksakan.

"Hampir setiap hari, saya menelefon ibu, Faridah Abdul Hamid, kerana ingin berhenti daripada kolej tetapi sebaliknya ibu sering meminta saya jangan menelefonnya dengan kerap.

"Akhirnya, ibu meminta saya berpindah ke California dan tinggal bersama kakak yang menetap di sana selain menyambung pengajian," ujarnya.


MUAY thai membuatkan Dzianti lebih berkeyakinan diri.


Perpindahan ke San Francisco, California itu membuka lembaran baharu dalam hidup gadis yang tidak lekang dengan senyuman ini.

Jubah

Dia berubah selepas melibatkan diri dengan seni mempertahankan diri muay thai.

"Semasa dalam perjalanan pulang dari kolej, saya terpandang sebuah bangunan gimnasium yang menawarkan kelas muay thai.

"Entah mengapa, saya terus mendaftar dan menyertainya secara konsisten sehingga sanggup mengikuti latihan sehingga berjam-jam setiap hari.

"Walaupun badan berasa lenguh dan dipenuhi kesan calar dan luka, saya berasa puas. Ramai yang terkejut dengan perubahan sikap saya yang menjadi lebih peramah berbanding sebelum ini," ujarnya.

Tuturnya, pergerakan wanita dalam seni mempertahankan diri muay thai adalah setangkas peserta lelaki dengan tujahan siku dan lutut yang tepat. Ia selalu sahaja membuatkan lawan mengerekot menahan kesakitan.

"Ketajaman fikiran merupakan asas dalam muay thai manakala pergerakan tubuh lain sebagai pelengkap kepada kekuatan keseluruhan

"Dengan pergerakan yang praktikal malah kadangkala cukup satu tumbukan yang tepat, pihak musuh dapat ditumbangkan dengan mudah. Ini menjadikan seni ini pilihan yang tepat bagi saya," katanya.

Ujarnya lagi, secara lahiriah, gadis memang lembut dan keadaan ini menyukarkan mereka mempertahankan diri.

PERSEDIAAN sebelum bertarung dalam sesi latihan.


Namun, jika mereka tahu cara yang betul menggunakan siku atau lutut, itu sudah memadai menjadi senjata mempertahankan diri

Sebaik sahaja pulang daripada perantauan dua tahun lalu, Dzianti mengambil keputusan membuka Merican Muay Thai Gym. Menurut Dzianti, ramai yang terkejut dengan keputusannya itu.

"Kini, saya mempunyai tiga orang tenaga pengajar lelaki manakala saya mengajar kaum Hawa," katanya.

Jelasnya, selain memberi peluang kepada kaum Adam untuk melibatkan diri secara aktif, sukan itu juga terbuka untuk wanita.

"Setiap Ahad saya mengajar wanita dalam kelas tertutup termasuk wanita yang memakai jubah. Hakikatnya, semua individu termasuk perlu belajar seni mempertahankan diri demi keselamatan.

"Tetapi jika keadaan terdesak dan tidak menyebelahi kita, lebih baik lari sahaja dan meminta pertolongan," katanya ketawa.

Tadika tanpa watak Mickey Mouse

Posted: 03 Jun 2012 09:20 PM PDT


PERMAINAN warna pasti menarik minat kanak-kanak untuk terus belajar.


WATAK kartun fantasi seperti Mickey Mouse, Donald Duck, Snow White dan Cinderella sering menghiasi pusat didikan kanak-kanak (tadika) di negara ini, namun Play Station tampil dengan konsep berbeza.

Pusat motivasi dan pembangunan diri yang terletak di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur itu memilih persekitaran yang lebih santai, justeru suasana pembelajaran terasa lebih menyeronokkan.

"Kami mahu menjadikan sesi pembelajaran tidak membosankan khususnya bagi kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga enam tahun," kata pemiliknya, Michelle Pang.

Beliau memberitahu, rakannya, Jefri, banyak memberikan idea tentang susun atur perabot dan perhiasan di premis dua tingkat itu.

Ketika melangkah masuk ke dalamnya, pandangan mata disambut rak-rak buku dan sebuah set sofa hitam.

Walaupun memiliki banyak barang mainan, ruang yang ada tidak sesak atau bersepah.


ALBUM aktiviti murid-murid Play Station.


"Pusat ini tidak mengikut konsep guru-murid yang bertujuan mengawal kanak-kanak seperti yang dilaksanakan di tadika biasa.

"Cara itu akan menyebabkan kanak-kanak terasa diri mereka dikawal. Jadi, di sini saya memberi kebebasan bergerak supaya mereka boleh belajar dalam suasana yang selesa," ujarnya yang mengenakan bayaran sebanyak RM250 sebulan untuk seorang murid.

Dengan jumlah murid kira-kira 50 orang, susunan perabot yang ringkas tidak memberi sebarang masalah. Rekaannya juga sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

"Jika dilihat dengan teliti dinding di tingkat bawah, ia bercorak seperti permainan teka-teki dan kanak-kanak selalunya menggemari suasana seperti itu.

"Kadang-kadang mereka kelihatan sangat tertarik dengan rona dinding di samping koleksi barang mainan dan pelajaran bercirikan alam sekitar dan manusia, begitu juga koleksi jurnal Encyclopaedia Britannica," ujarnya.

Tambah beliau, lantai lamina coklat muda dan gelap disusun kemas bagi memastikan kanak-kanak selamat ketika berjalan dan bermain.

Hampir keseluruhan ruang itu segar dengan padanan warna set kerusi meja dan cat dinding.


RUANG pembelajaran luas serta dilengkapi set meja dan kerusi yang ringkas.


Yoga

Selain itu, sebuah pentas kayu kecil sering menjadi tumpuan. Ia berlatarkan warna hitam dan dihiasi gambar bulan dan bintang serta koleksi haiwan.

Kata Michelle, suasana pembelajaran yang bebas itu amat digemari kanak-kanak sementara ibu bapa dapat merasai keunikan pendekatan pendidikan itu ke atas anak-anak mereka.

Melangkah naik ke tingkat atas pusat itu, dinding di sepanjang tangganya yang dihiasi poster bunga matahari hasil kreativiti kanak-kanak di situ begitu mencuit hati.

Ruang di tingkat atas berbeza sama sekali dengan gabungan empat warna dinding.

"Biru, putih, kuning dan hijau memberi pemandangan yang segar dan sejuk. Tingkat ini juga dilengkapi rak putih untuk menyimpan buku dengan kemas.

"Kami mahu kanak-kanak yang belajar di sini merasai suasana itu tanpa wujud perasaan mereka sedang direkrut," kata Michelle.

Walaupun agak ringkas sentuhan reka bentuknya, gabungan warna itu mengubah senario di ruang tersebut.


PANDANGAN depan pintu masuk Play Station yang berwarna-warni.


Lantai berlamina warna coklat gelap yang licin turut melancarkan pergerakan kanak-kanak yang mengikuti kelas yoga di situ.

"Saya wajibkan kelas yoga bagi memastikan kanak-kanak itu sentiasa bertenaga," beritahu Michelle.

Difahamkan, kos pengubahsuaian pusat berkeluasan 130 meter persegi di tingkat bawah dan 177 meter persegi tingkat atas itu ialah sekitar RM250,000.

Menangis hingga hilang suara

Posted: 03 Jun 2012 09:20 PM PDT


TIDAK henti-henti menangis sehingga tidak terdengar suara tangisan antara sindrom sawan tangis. - Gambar hiasan


SAAT dikurniakan anak merupakan momen bahagia bagi setiap pasangan. Senyuman dan tangisan bayi yang memperuntukkan kira-kira 60 peratus masanya untuk tidur pasti sukar dilupakan.

Tetapi bayi yang sering menangis tentu sahaja membuatkan ibu bapa risau.

Terdapat beberapa andaian si manja berkelakuan sedemikian, antaranya keadaan fizikal bayi itu dan persekitaran.

Segelintir masyarakat Melayu menganggap si bayi telah terkena sawan tangis yang dipercayai berpunca daripada gangguan makhluk halus.

Seorang pengamal perubatan Islam, Datuk Dr. Amran Kasimin, memberitahu, menangis merupakan satu peryataan bayi bagi menggantikan pertuturan.

Hilang suara

"Ada yang mengaitkan sawan tangis dengan gangguan makhluk halus yang diistilahkan sebagai qarin," cerita Amran.

Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab yang bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh jahat, yang terdiri daripada makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia sejak lahir.

Lebih pelik, bayi atau kanak-kanak akan menangis pada waktu tertentu seperti selepas tengah malam sehingga berjam-jam lamanya.

Bagaimanapun, pada waktu lain bayi akan tidur dengan nyenyak selain tiada tanda dia terganggu apabila diperiksa oleh doktor.

"Petunjuk tadi membuktikan bayi mungkin terganggu disebabkan gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar atau melalui eksperimen teknologi moden.

"Malah, bayi memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya," kata Amran.

Tuturnya, sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan makhluk halus itu menyebabkan bayi tidak henti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya.

"Setelah berhenti dia akan menangis semula. Demikianlah halnya, yang kadang-kadang memakan masa berjam-jam menyebabkan ibu letih dan gelisah.

"Ironi, sukar untuk membuktikan bahawa sawan tangis berlaku disebabkan gangguan makhluk halus semata-mata walaupun perkara itu pernah berlaku," kata Amran.

Kembung bayi

Pakar Pediatrik Hospital Pantai Ampang, Dr. Wan Khairina Wan Mohd. Nowalid, menjelaskan sawan tangis yang dikenali oleh masyarakat Melayu ada persamaan dengan infant colic atau kembung bayi yang merujuk kepada fenomena bayi menangis dengan kerap tanpa sebab.

"Selepas diperiksa oleh doktor keadaan bayi didapati sihat dan membesar seperti bayi yang lain.

"Tetapi lebih kurang 20 peratus bayi mengalami infant colic yang lazimnya akan berhenti secara semula jadi semasa mereka berusia empat atau lima bulan," katanya.

Namun, Wan Khairina memberitahu, ada juga kes berlanjutan sehingga mereka berusia setahun.

Katanya, tangisan bayi boleh berlaku pada bila-bila masa tetapi kebiasaannya pada waktu petang.

"Sebahagian pakar perubatan menyifatkan infant colic sebagai tangisan yang berterusan sehingga lebih tiga jam sehari.

"Ia berlaku pada semua bayi tanpa mengira bangsa dan agama," jelasnya.

Tambah Wan Khairina, kemurungan yang dialami ibu bayi semasa mengandung boleh menjadi faktor kembung bayi.

"Ada penyelidikan yang mendapati tekanan semasa mengandung mengakibatkan anak yang dilahirkan mempunyai kadar hormon stres yang tinggi.

"Namun, ibu bapa perlu memastikan tangisan tersebut bukan disebabkan masalah lain seperti ketidakselesaan, sakit, lapar dan kotor," ujarnya.

Ceritanya, bayi juga perlu diperiksa oleh pakar kanak-kanak untuk menentukan ia bukan berkaitan dengan penyakit atau keadaan kesihatan bayi seperti meningitis dan jangkitan kuman dalam darah atau air kencing.

"Bantuan nasihat serta kaunseling dapat membantu mengurangkan tekanan ibu bapa dan juga bayi.

"Oleh kerana tiada solusi tertentu yang paling berkesan, kaedah seperti urutan lembut, mendakap atau membedung bayi malah mendedahkan mereka pada bunyi dengungan seperti mesin basuh atau deruan kereta sedikit sebanyak boleh membantu masalah ini," ujarnya.

Persekitaran yang bebas daripada bakteria juga berperanan mengurangkan risiko kembung bayi. Umat Islam pula digalakkan memperdengarkan bacaan al-Quran atau zikir bagi membantu menyelesaikan situasi yang dialami bayi itu.

Ikan bakar petai

Posted: 03 Jun 2012 09:18 PM PDT


SATAR buatan asli dari Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang turut menjadi tarikan pelanggan restoran ini.


PEMANDANGAN sebuah bangunan bersebelahan Balai Bomba Bandar Baru Bangi, Selangor itu bagaikan berpesta.

Malah, lokasi itu dipenuhi deretan pelbagai jenis kereta di bahu jalan sehingga menyebabkan aliran trafik agak perlahan.

Sebaik sahaja memasuki premis, pelbagai kelibat manusia dapat diperhatikan.

Ada yang sedang menikmati makanan, kanak-kanak berlari riang di taman permainan malah ada yang bersolat di surau.

Itu pemandangan biasa di Restoran Ana Ikan Bakar Petai.

Kedatangan kru Jurnal pada Rabu lalu disambut baik oleh pengurus restoran iaitu Aiman Deraman , 37, yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Segak berkemeja, berseluar jean serta berkopiah beliau menjemput penulis dengan senyuman.

Suasana bising dengan pelanggan memilih makanan, pelayan restoran mengambil menu selain berbual-bual selepas perut kenyang menjadi perkara biasa di restoran ini.

Terasa aroma bau petai yang sedang dibakar membuatkan penulis kecur liur.

Memulakan bicara, Aiman memberitahu, perniagaan makanan itu bermula pada tahun 1996 di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.

"Mulanya arwah ayah dan ibu hanya berniaga secara kecil-kecilan menjual otak-otak dan satar.

"Kemudian ia berkembang dengan restoran makanan yang dimulakan dengan modal yang kecil," katanya.

Ketika diajukan soalan mengapa petai yang menjadi ikon ikan bakar restoran itu, Aiman menjelaskan, petai merupakan ulam kesukaan kakaknya Zalina.

Jelas Aiman, Zalina sering bereksperimentasi dengan pelbagai resipi sehingga menjadi menu kesukaan ramai di restoran itu.

Ternyata, percubaan itu mendatangkan hasil yang lumayan sehingga perniagaan keluarga itu mengambil keputusan melebarkan sayapnya di Bangi, Selangor.

Petai cukup popular digunakan sebagai ulam-ulaman terutama bagi masyarakat Melayu.

Perniagaan keluarga

SOS istimewa membuatkan ikan bakar menjadi lebih enak.


Aiman memberitahu, mereka tidak meminjam daripada bank untuk membuka restoran itu. "Berniaga tidak semestinya perlu meminjam. Menyimpan keuntungan sudah mencukupi untuk membuka cawangan seterusnya," katanya.

Tutur Aiman, selain petai, makanan laut yang dimasak di restorannya juga dicampur dengan sos istimewa dan dibungkus di dalam daun pisang.

"Ramuan sos sama seperti restoran ikan bakar lain dengan menggunakan halia, lengkuas, bawang kecil dan rempah ratus tetapi sukatan setiap bahan itu berbeza.

"Lucunya, ada pelanggan yang datang meminta petai dalam kuantiti yang banyak sehingga pernah mereka tidak datang ke restoran sebaik mengetahui bekalan ulam itu terputus stok untuk seketika," ujarnya.

Bercerita mengenai ikan, kata Aiman, jenahak, merah dan siakap menjadi pilihan utama pelanggan.

Cara masakannya pula boleh dibakar atau dimasak pedas, stim atau tiga rasa.

Tidak lengkap berbual dengan Aiman sekiranya tidak bertanya kuantiti daun pisang, petai dan makanan laut yang digunakannya dalam sehari.

"Sebanyak 300 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan digunakan dalam sehari. Sotong pula 70kg, udang 40kg dan lala 50kg.

"Petai pula 7kg, arang 50kg serta daun pisang 5kg sehari," katanya.

Selain makanan laut, satar yang merupakan perniagaan awal keluarga itu turut menjadi tarikan utama pelanggan.

Dihasilkan daripada campuran ikan tumbuk, kelapa, gula, bawang, serai, halia, garam dan cili potong, satar sememangnya membuka selera apabila dihidangkan semasa masih panas.

DAUN pisang yang dibalut bersama ikan.


Kerana bahannya yang pelbagai, tidak hairanlah anda akan menikmati tiga rasa utama iaitu masam, masin dan pedas sekali gus sebaik lidah memecah rasa satar.

Teruja

Tidak cukup berbicara mengenai ikan bakar sekiranya tidak merasai sendiri kelazatannya.

Penulis diberi peluang merasai kelazatan ikan pari dan ikan sebelah dimasak bersama petai.

Uniknya, anda perlu membuka sendiri ikan bakar yang dibalut dengan daun pisang.

Sebaik sahaja membukanya, aroma petai berisi sos terus menangkap selera dan membuatkan kecur liur.

Ikan yang digunakan ternyata segar manakala teknik bakar menggunakan arang menjadikan makanan menjadi lebih enak.

Ia bertambah lazat apabila dicicah dengan cili kicap atau kuah air asam sehingga menyebabkan ramai pelanggan memikirkan kuah air asam itu turut dicampur dengan buah kedondong tetapi sebenarnya tidak.

PETAI dikatakan mempunyai manfaat dari sudut kesihatan kerana mampu menurunkan suhu panas badan seseorang selain didakwa boleh mencerdaskan otak.


"Asam jawa yang digunakan agak berbeza kerana berkualiti tinggi dan diimport khas.

"Selain itu, sukatan yang digunakan berbeza selain diperam dalam tempoh tertentu," kata Aziz.

Bagi seorang pelanggan, Yanty Md. Nur, 24, dia sememangnya seorang penggemar petai.

"Jika tidak makan petai sehari seperti tidak sempurna hidup rasanya, tetapi ini kali pertama saya makan ikan bakar yang dimasak dengan petai.

"Rasanya tidak mengecewakan," ujarnya.

Shifudin Othman, 36, sanggup datang dari Batu Pahat, Johor untuk menikmati hidangan ikan bakar istimewa itu.

"Ternyata perjalanan yang agak jauh ke restoran ini agak berbaloi kerana masakannya sedap," katanya.

Pendapatnya dipersetujui Khairul Nizam Mohammad, 32, dan Munzilah Md. Rohani, 30.

Insaf seorang mak nyah

Posted: 03 Jun 2012 09:17 PM PDT


ATUK (tengah) bukan sahaja aktif dalam pertubuhan membantu pesakit HIV malah dia juga sering menjadi buah mulut di kalangan golongan tersebut.


SECEBIS pengalaman hitam yang cukup perit untuk dikenang adakalanya tidak perlu dipadamkan terus daripada kotak ingatan.

Sebaliknya, jika perjalanan penuh ranjau itu dijadikan iktibar yang membangkitkan keinsafan, tidak mustahil anda lebih menghargai kehidupan selepas itu.

Itu prinsip hidup Roslan Hamzah, 54, insan yang pernah tersasar daripada landasan kehidupan sehingga terpaksa menanggung padah sehingga akhir hayat.

"Setiap kali bangun daripada tidur, saya berasa amat bersyukur kerana masih hidup.

"Allah masih menyayangi saya sedangkan dahulu saya adalah hamba-Nya yang paling daif.

"Islam saya hanya pada nama sedangkan kehidupan saya jauh menyimpang," ujar Roslan yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Atuk.

Dilahirkan di Kajang, Selangor pada tahun 1958, hidup Atuk mula hilang seawal usia remaja lantaran perpecahan keluarganya.

"Percaya atau tidak, saya menghuni Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur ketika umur saya 14 tahun.

"Masa itu, saya tidak kisah hidup di kaki lima asalkan bebas daripada masalah di rumah.

"Di situ, saya mula bercampur dengan penagih-penagih dadah dan mula belajar hisap (dadah) heroin," katanya.

Lantaran gian yang sentiasa memuncak, wang menjadi satu masalah besar buat Atuk.

"Masa itu susah untuk dapatkan kerja lebih-lebih lagi kerana faktor umur yang masih muda dan perwatakan lembut saya yang sering dianggap tidak normal.

"Saya semakin tertekan lebih-lebih lagi dalam masa sama teman lelaki meninggalkan saya kerana mahu berkahwin dengan wanita tulen.

"Desakan itu menjadikan saya nekad untuk campakkan ego dan kehormatan diri jauh-jauh.

"Saya ubah diri menjadi mak nyah dan melacur untuk dapatkan wang," cerita Atuk.

Pergaulan bebasnya di Lorong Haji Taib memperkenalkannya dengan lebih ramai pekerja seks lelaki.

Menurutnya, mak nyah yang masih muda dan memiliki raut wajah disifatkan sebagai jambu sering menjadi tarikan.

"Kalau badan masih muda, muka pun cun, memang lebatlah poket.

"Tak mustahil boleh dapat RM200 hingga RM300 satu malam.

"Tapi kalau umur melebihi 30 tahun, biasanya mereka akan bersara," jelasnya.

Dalam kalangan pelacur lelaki, kata Atuk, tidak semua mereka mak nyah. Ada juga lelaki tulen malah ada yang sudah berkahwin.

Kebanyakannya menjadi pilihan kepada pelanggan yang inginkan layanan lebih sensasi.

"Pelanggan mereka terdiri daripada lelaki biseksual, gay, mak nyah dan perempuan.

"Boleh katakan semua pekerja seks lelaki di situ mengambil syabu atau heroin.

"Bagi yang tak mahu ambil risiko dadah, mereka gemar togok arak," kata Atuk.

Bak kata orang, roda itu bulat dan tidak selamanya kita berada di atas.

Zaman kegemilangan Atuk di Lorong Haji Taib beransur pudar apabila umurnya semakin meningkat. Maklumlah, pelanggan lebih suka makan pucuk muda.

"Hidup saya mula melarat. Pendapatan tidak seberapa tapi keperluan untuk heroin semakin meningkat.

"Ketiadaan wang menyebabkan saya merempat di bawah jambatan.

"Makan pun asal jumpa. Pernah juga saya korek tong sampah untuk cari sisa makanan. Tak fikir pun soal kotor kerana saya selalu berada dalam alam khayalan," akuinya.

Penyakit

Atuk bagaimanapun ditangkap dan didakwa mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia dipenjarakan 40 bulan dan dikenakan empat sebatan. Selepas bebas, dia perlu berada dalam pengawasan polis selama setahun.

"Saya temui keinsafan dalam sel. Keadaan di dalam penjara bukanlah faktor utama saya berubah.

"Ibu saya meninggal dunia ketika saya berada di dalam tahanan.

"Saya cukup berasa terkilan kerana tidak sempat menjaga dan berada di sisinya ketika diperlukan.

"Kehilangan ibu membuka mata saya tentang realiti kehidupan. Terdetik dalam hati, inilah masanya untuk saya berubah. Cukuplah saya menzalimi diri sendiri selama ini," ujar Atuk.

Selepas dibebaskan, Atuk kembali ke Lorong Haji Taib. Kali itu Atuk tekad untuk jadi baik.

"Cabaran untuk menjadi Roslan yang baharu bukan mudah, namun saya tekad, cukuplah saya tersasar selama ini.

"Saya tidak mahu hidup ditentukan nafsu sendiri. Untuk menguatkan hati, saya paksa diri melihat kawan-kawan yang asyik menghisap dadah.

"Alhamdulillah, apabila teringatkan arwah ibu, keinginan untuk kembali menagih hilang. Mungkin ini hikmah di atas pemergiannya," ujar Atuk sayu.

Mahu hidup lebih positif, Atuk mula menyertai PT Foundation, sebuah pertubuhan yang memberi khidmat kepada golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat HIV. Kumpulan sasarannya adalah pekerja seks lelaki.

Atas kesedaran sendiri, Atuk menjalani pemeriksaan HIV pada tahun 1996 dan dia didapati positif HIV.

"Walaupun sudah bersedia dengan keputusan tersebut, saya akui, saya sangat kecewa dan berkurung dalam bilik selama lapan hari," katanya yang mengandaikan seks bebas dan perkongsian jarum suntikan sebagai punca sebenar dia dijangkiti HIV.

Kini selepas 20 tahun hidup bersama virus yang belum ditemui penawarnya itu, Atuk lebih selesa pergi kepada golongan penagih dan kumpulan yang berisiko tinggi mendapat HIV seperti remaja perempuan, wanita dan pekerja seks lelaki.

Menurut Atuk, terdapat lebih 100,000 rakyat di negara ini yang dijangkiti HIV.

"Mungkin bukan mudah untuk kita mahu mensifarkan kematian akibat HIV, namun dengan bermacam jenis pendedahan, saya amat berharap, angka tersebut dapat disusutkan.

"Program pemberian kondom percuma dan pertukaran jarum suntikan, saya lihat sangat membantu meminimumkan penyebaran virus ini khususnya kepada keluarga," katanya yang ingin menghabiskan usianya dengan mendidik masyarakat tentang HIV khususnya di Kedah.

Baginya, pengetahuan tentang virus HIV sangat penting disebarkan kerana kesan daripada virus itu bukan sahaja boleh merosakkan diri pembawanya tetapi ia juga memberi risiko kepada keluarga dan masyarakat.

"Akar kekuatan diri ini datangnya daripada rumah. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting demi memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala negatif yang boleh membawa mudarat seperti dijangkiti HIV.

"Didiklah anak-anak anda tentang konsep pergaulan yang betul. Kenali mereka, dekati rakan-rakannya dan jangan malu untuk memberi pendahan tentang apa itu HIV, dadah dan seks bebas.

"Saya tidak menyesal dapat HIV. Ia sejarah yang tidak boleh diubah. Namun, saya tahu, Allah sayangkan saya.

"Dia beri saya ujian yang penuh dengan hikmah. Benar saya ada HIV tapi itu tidak menghalang saya untuk membantu dan mendidik masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sihat," kata Atuk.

Ibu tidak lelah tiup semangat

Posted: 03 Jun 2012 09:16 PM PDT



BAIK Mohammad Zarrieff Nasir, 24, mahupun Azura Mazaruddin, 28, mereka berkongsi isi hati yang sama. Bicara kedua-dua anak muda tersebut, kejayaan yang dikecapi hari ini pastinya sukar dicapai tanpa dorongan dan kritikan daripada seorang insan yang dipanggil ibu.

Jatuh dan bangun sepanjang meniti landasan kerjaya sebagai pereka fesyen ditempuhinya bersama ibu. Kadangkala si ibu dilihat lebih tabah dan kuat semata-mata untuk meniup semangat positif kepada sang permata hati. Mereka mengakui, pada fasa permulaan begitu gusar untuk memilih bidang rekaan fesyen kerana melihat bisnes berkenaan tidak mempunyai prospek luas.

Berkat dorongan yang berterusan daripada ibu tersayang maka kedua-dua pereka itu bertekad mengatur langkah dalam industri fesyen tempatan meskipun terpaksa bertatih dari bawah dan bersaing dengan pereka senior yang sudah mencipta nama.

"Sewaktu remaja, saya menanam impian untuk mengusahakan bisnes hiasan dalaman kerana terlalu meminati meminati seni rekaan perabot, dekorasi dan gubahan. Lagipun, sejak kecil, saya sudah terdedah pada bidang ini memandangkan ayah seorang arkitek landskap, manakala ibu pula terlibat dalam bisnes gubahan bunga.

"Kini ibu dan ayah, menjalankan perniagaan pembuatan perabot dan hiasan dalaman di Sungai Buloh, Selangor. Jadi saya fikir lebih baik mendalami bidang ini.

"Sekurang-kurangnya selepas menamatkan pengajian, saya boleh membantu menguruskan bisnes keluarga," jelas Mohammad Zarrieff ketika ditemui Stailo di di butiknya yang berlokasi di Taman Gombak Setia, Gombak, Selangor.


ZARRIEFF di sisi ibunya, Nor Azlyna bergambardi depan butik Zarrieffdi Taman Gombak Setia, Gombak, Selangor


Menyambung bicara, anak kepada pasangan Nasir Ismail, 56 dan ibu, Nor Azlyna Aziz, 49, menyatakan, sebaik saja tamat persekolahan, ibu menyarankan supaya memilih jurusan rekaan fesyen untuk menambah variasi seni rekaan dalam keluarganya.

Pada mulanya, Zarrieff tidak yakin kerana jari-jemarinya hanya selesa melakar rekaan perabot. Namun, ternyata si ibu lebih arif menilai potensi anak-anak sehingga pereka yang berketinggian 178 sentimeter itu berani menyahut cabaran ibunya.

Memenuhi hasrat ibu

"Saya memenuhi permintaan ibu dengan hati terbuka. Tiada istilah dipaksa atau terpaksa kerana saya sedar ibu berusaha mencari sesuatu yang terbaik untuk saya. Lagipun bermula pada usia lima tahun saya sentiasa bertindak sebagai 'perunding imej' ibu.

"Acap kali sebelum keluar rumah, saya membantu ibu memilih aksesori dan sepatu yang sesuai. Lazimnya, pilihan saya cocok dengan destinasi dan acara yang dihadiri ibu (ketawa)," tutur Zarrieff, yang pernah menghasilkan busana Datuk Siti Nurhaliza dalam program bual bicara Siti yang disiarkan menerusi saluran Astro.

Sambil membetulkan blaus cetakan batik yang digayakan ibunya, graduan Ijazah Rekaan Fesyen dari Universiti Middlesex, London itu tidak henti-henti bersyukur dan berterima kasih kepada ibunya kerana memilih jurusan yang tepat buat dirinya. Kini dia bukan saja berkebolehan mereka busana, malah kreatif menghasilkan kasut pelbagai stail dan konsep.

"Saya mengalakkannya melanjutkan pelajaran di London memandangkan di sana sarat dengan ilmu fesyen. Pada masa yang sama, saya ingin dia belajar cara penampilan masyarakat tempatan dan menjenguk rumah-rumah fesyen antarabangsa di sana," terang Nor Azlyna yang pada mulanya berat hati untuk berpisah dengan anaknya.


NOR AZLYNA membimbing Zarrieff dalam bidang fesyen dan dekorasi berdasarkan pengalaman yang dimilikinya selama dua dekad sebagai ahli perniagaan dalam bidang itu.


Sehinggakan pada satu ketika, Nor Azlyna sanggup terbang ke London bersama suami dalam keadaan tergesa-gesa, disebabkan Zarrieff tidak muncul dalam talian selama dua hari.

Tambah wanita yang memiliki darah campuran Jepun dan British (sebelah ibu), manakala Melayu (sebelah bapa), dia sentiasa menasihatkan anaknya supaya mahir dalam aspek rekaan, jahitan dan operasi butik. Ini bagi mengelakkan dirinya ditipu oleh pekerja bawahan.

Anak yang baik

Bagi Azizah Johari, 50, pula, beliau menyifatkan Azura seorang anak yang penyayang dan patuh kepada ibu bapa. Dalam apa jua situasi, anak sulungnya itu akan memberi keutamaan kepada keluarga.

"Azura sentiasa bekerja keras dan pantang berundur selagi belum berjaya memperoleh sesuatu yang dihajati. Misalnya, jika rekaan yang dihasilkan masih belum mampu menambat hati pelanggan, dia tidak mengeluh sebaliknya tanpa jemu melakar rekaan fesyen yang terbaik.

"Saya kagum dengan keupayaannya pada hari ini. Dia fokus dan sentiasa berusaha sehingga kebanyakan kerja menjahit dilakukannya sendiri. Sebelum mampu membuka butik dan mengupah pekerja, Azura sanggup bersengkang mata siang dan malam menyiapkan baju pelanggan sambil dibantu kami sekeluarga," kata Azizah yang berkongsi minat membeli-belah, menonton wayang dan bersantai bersama Azura.

Tambah ibu kepada lima orang cahaya mata itu, selain bertindak sebagai tulang belakang karier dan ibu kepada Azura, dia juga merupakan pengkritik tetap pada setiap produk jenama Azura Couture. Jelasnya, cara tersebut pendekatan yang ideal bagi meningkatkan lagi prestasi dan mutu busana serta sepatu rekaan Azura.

Dalam pada itu, Azura yang merupakan graduan bidang rekaan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam memberitahu, sinarnya mula berkerlip terang dalam industri fesyen tempatan sejak mengungguli Anugerah Jarum Berlian pada tahun 2003.


AZURA (kanan) gemar menonton wayang dan bersiar-siar bersama ibunya.


"Pencapaian yang dikecapi ini hasil dorongan dan didikan daripada ibu. Jatuh dan bangun saya, ibulah peniup semangat. Dia amat memahami setiap kali saya berhadapan dengan masalah. Lebih mengharukan ibu sanggup turun padang membantu saya menguruskan hal tempahan, jahitan, mengangkat stok barang dan menemani sepanjang malam sewaktu menyempurnakan tempahan pelanggan.

"Sukar untuk dijelaskan apatah lagi dihitung sumbangan ibu kepada saya. Apa yang pasti, ibu sentiasa berada di sisi setiap kali saya berada dalam kesusahan. Selain itu, ibu juga selalu berkongsi idea rekaan dan konsep perincian yang kadangkala tak terfikir dek fikiran saya," jelas Azura yang berbangga dilahirkan sebagai anak kepada Azizah Johari dan Mazaruddin Hamzah.

EKSENTRIK JOHNNY DEPP

Posted: 03 Jun 2012 09:15 PM PDT


KOSTUM lanun yang digayakan Johnny Depp dalam filem Pirates of the Caribbean.



MASIH ingatkah anda dengan karakter Edward dalam filem Edward Scissorhands pada tahun 1990 atau Willy Wonka dalam Charlie and the Chocolate Factory pada tahun 2005? Jika memori anda belum cukup menelah, siapa di sebalik watak itu mungkin anda kenal siapa Kapten Jack Sparrow menerusi filem Pirates of the Caribbean.

Individu yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah Johnny Depp, aktor serba boleh yang sering tampil dengan kostum dan solekan tebal dalam hampir setiap filem lakonannya.

Depp ikon fesyen

Hidup jejaka berbintang Gemini ini cukup bertuah. Selain digilai wanita-wanita seluruh dunia kerana ketampanan wajahnya, Depp juga dijadikan idola kebanyakan lelaki yang tertarik dengan gaya fesyennya. Siapa sangka fesyen tersendiri yang dibawa Depp meletakkan beliau sebagai salah satu ikon fesyen dunia.

Baru-baru ini, Council of Fashion Designers of America (CFDA) mengumumkan bahawa Johnny Depp dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Fesyen untuk tahun ini. Menariknya, Depp menjadi lelaki pertama menerima pengiktirafan tersebut yang sebelum ini disandang bintang-bintang wanita seperti penyanyi, Lady Gaga dan supermodel, Iman.

Sepanjang lebih 25 tahun bertapak dalam industri perfileman Hollywood, Depp tidak pernah tampil dalam busana yang mengecewakan. Sejak usianya 20-an lagi, Depp mula bereksperimen dengan gaya yang ingin dibawa. Anda harus mengakui tiada orang mampu membawakan gaya Johnny Depp dengan baik selain dirinya sendiri. Johnny Depp ialah Johnny Depp!

Jean pudar, topi fedora, baju T hitam, kaca mata bingkai hitam, jaket kulit dan aksesori berlapis seperti rantai menjadi item kekunci gaya seorang Johnny Depp.

Jadi diri sendiri


GAYA Jonny Depp sewaktu membintangi filem Edward Scissorhands, pada tahun 1990.


Bagi yang tidak biasa melihat Depp berjalan di acara karpet merah, mungkin penampilan beliau dianggap berserabut dan tidak kemas.

Tetapi siapa yang mampu membawakan gaya lelaki nakal dengan wajah tampan selain Depp? Rambut panjang dan jambang menjadi identiti Depp. Ia menyerlahkan sisi unik dan misteri di sebalik karakter Depp yang sememangnya diakui sebagai jejaka yang mahu tampak berbeza.

Membentuk gaya tersendiri membuktikan Depp tidak perlu mengikut arus fesyen yang ditetapkan sesetengah pihak untuk tampak segak. Beliau hanya menjadi diri sendiri dan mencipta pemakaian yang bertepatan dengan personaliti.

Sempurnakan solekan

Posted: 03 Jun 2012 09:15 PM PDT


ELFIRA (tengah) berasa bangga dan terharu diberi penghormatan sebagai wajah baharu Maybelline.


JENAMA solekan antarabangsa Maybelline New York, melancarkan produk terbaharu BB Stick Clear Stick, yang sesuai diaplikasikan pada kulit wajah wanita Asia. Biarpun menjalani aktiviti di bawah sinaran matahari atau hujan, olesan BB Stick Clear Stick akan kekal pada wajah dalam tempoh 24 jam.

Menariknya, BB Stick Clear Stick bukan saja mudah disapu dan meresap dalam kulit wajah, malah ia ringan untuk dibawa ke kuliah, pejabat ataupun bersantai. Tekstur dan warnanya yang lembut membantu membuatkan kulit wajah tampak sekata dan segar.

Ini termasuklah menutup bintik-bintik hitam dan melindungi wajah daripada sinaran ultra ungu (UV) yang boleh menyebabkan masalah pigmentasi.

Kandungan SPF50+++ di dalamnya bertindak memelihara wajah daripada agen perosak seperti persekitaran yang kotor dan cahaya matahari. Selain itu, kandungan mineralnya pula berfungsi melembutkan dan melembapkan kulit sepanjang hari.

Menurut jurucakap jenama Maybelline New York, Malaysia yang terbaharu, pelakon dan hos, Nurul Elfira Loy, dia menggemari konsep solekan gaya segar dan semula jadi. Justeru, penggunaan BB Stick Clear Stick menjadi pilihan yang tepat untuk mendapatkan konsep solekan yang sedemikian.

"Produk ini menjadikan kulit saya kelihatan hebat kerana ia menutup cela dan melindungi kulit saya daripada sinaran UV. Lagipun BB Stick Clear Stick, membuat kulit wajah kelihatan seperti tidak memakai sebarang mekap dan saya tampak segar sepanjang hari," jelas Elfira yang pernah membintangi drama Biar Mimpi Sampai ke Bintang dan Qalesya.

Tambah pemenang Pelakon Sampingan Terbaik di Anugerah Skrin 2011, produk berkenaan juga sesuai untuk semua jenis kulit terutamanya bagi wanita yang memiliki jenis kulit berminyak.

"Selain BB Stick Clear Stick, saya turut meminati kesemua produk Maybelline New York kerana ia sesuai dengan pengguna remaja seperti saya. Saya telah lama menggunakan kosmetik Maybelline dan terharu apabila dilantik sebagai jurucakap jenama ini," jelas Elfira ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta terbaharu Maybelline New York di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengurus Produk Kumpulan Maybelline New York, Pink Fong, menyatakan, pemilihan selebriti manis dan genit itu kerana sifatnya yang berkeyakinan, ceria dan versatil untuk menggayakan pelbagai konsep solekan.

Pada masa yang sama, pihak Maybelline New York turut yakin bahawa Elfira mampu mengembangkan lagi jenama berkenaan dalam kalangan pengguna tempatan.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengannya dan yakin pengaruh dan karisma yang dimiliki oleh Elfira dapat menarik minat golongan muda untuk merias wajah menggunakan rangkaian produk Maybelline New York," tambah Fong.

Produk Maybelline Clear Smooth BB Stick Clear Stick, akan berada di pasaran pada bulan Julai 2012 dan ia dijual pada harga RM24.90.

Cantik cara Elfira:

Maskara

Tata rias wajah tidak akan sempurna tanpa menyapu maskara Volum Express Mascara. Saya sentiasa memastikan sebelum keluar rumah atau bekerja wajah disolek dengan calitan gincu, pemerah pipi, pembayang mata dan sapuan maskara.

Gincu

Selain maskara, saya meminati gincu bibir kerana ia bagaikan magis dalam aspek solekan. Bayangkan, wajah yang pucat dan lesu mampu bertukar ceria hanya dengan calitan gincu warna terang atau lembut.

Teknik solekan pantas

Saya perlu bijak membahagikan masa antara belajar dan berlakon. Atas faktor itu, saya sentiasa mempraktikkan teknik solekan yang ringkas dan cepat tetapi menarik. Oleh itu, BB Stick Clear Stick, sangat membantu mempercepatkan proses solekan.

Ikon fesyen

Terlalu banyak ikon fesyen yang memberi inspirasi terhadap gaya dan stail peribadi saya. Namun, jika perlu membuat pilihan untuk memilih ikon fesyen tempatan, pastinya pelakon Nur Fazura menjadi pilihan saya. Dia seorang wanita yang bijak bergaya dan memiliki kelas serta stail tersendiri.

Mencari keaslian sebagai pereka

Posted: 03 Jun 2012 09:13 PM PDT


PELAJAR jurusan fesyen perlu memiliki pengetahuan bagi menghasilkan busana Muslimah kerana ia menepati konteks sosial tempatan.


PADA minggu ini, untuk memberikan sedikit kelainan dalam kolum ini, saya ingin menjawab beberapa pertanyaan daripada pembaca menerusi e-mel yang saya rasa menarik untuk dikongsi bersama.

Ia mungkin berguna untuk pembaca Stailo yang turut meminati dunia fesyen.

Apakah elemen utama yang perlu ada untuk menjadi pereka fesyen berjaya?

Fesyen adalah bidang yang memerlukan pelbagai kebolehan, bakat, kemahiran, pengetahuan luas dan aset. Oleh itu, latar belakang pendidikan fesyen, dedikasi, kemahuan menghadapi cabaran dan rintangan kunci kejayaan dalam bidang ini.

Pereka muda perlu menjejak jalan yang sudah dilalui oleh pereka berpengaruh tempatan dan luar negara dalam membina empayar fesyen mereka. Tidak kurang juga mereka perlu sentiasa berhubung dengan golongan profesional yang kreatif serta menjadikan mereka mentor yang boleh memberikan bimbingan serta nasihat dalam mengembangkan kerjaya.

Perkara lain yang turut diperlukan adalah sabar, berfikiran terbuka, mempunyai sikap ingin tahu dan berani bereksperimentasi.

Apakah definisi rekaan fesyen yang bagus?

Rekaan fesyen yang bagus merujuk kepada rekaan sempurna dalam semua aspek teknikal seperti kualiti jahitan, merangka pola, draping serta kemasan. Mempamerkan sesuatu yang belum dilihat, penuh dengan elemen dan unsur budaya, seni, falsafah serta emosi juga mampu menyokong mutu fesyen yang dikemukakan.

Dalam erti kata lain, rekaan mempunyai konsep, tetapi pada masa yang sama bersifat kontemporari dan mempunyai nilai komersial.

Rekaan yang bagus juga tidak keterlaluan, tidak menunjuk-nunjuk, tidak 'menjerit', tetapi masih cukup memikat.

Bagaimanakah rekaan fesyen yang boleh dianggap berjaya?

Kejayaan sesuatu rekaan fesyen itu bergantung kepada perspektif kita melihat rekaan berkenaan. Ada yang melihat fesyen sepenuhnya daripada sudut komersial ataupun yang paling penting hasil keuntungan pasaran sesuatu rekaan. Saya percaya rekaan fesyen yang bagus adalah rekaan yang mempunyai elemen kontemporari, kreatif, inovatif dan asli.

Penggiat fesyen perlu menghindari budaya plagiat yang berleluasa pada masa kini kerana ia membunuh kreativiti industri fesyen tempatan. Perlu diingat mendapat inspirasi dan menciplak adalah dua perkara yang amat berbeza.

Pereka hebat antarabangsa yang tersohor Azzedine Alaia dan Jean Paul Gaultier atau yang lebih muda seperti Riccardo Tisci mahupun Nicolas Ghesquire bijak dalam inovasi rekaan, sentiasa berkembang cemerlang serta paling penting setiap koleksi rekaan mereka menjadi trend ikutan global.

Bagaimanakah pelajar fesyen dapat membuat transisi daripada dunia pendidikan ke dunia profesional?

Pelajar seharusnya lebih banyak membaca untuk sentiasa sedar akan apa yang berlaku dalam industri fesyen tempatan dan antarabangsa. Mereka dinasihatkan menjalani latihan praktikal dan bekerja di tempat yang boleh memberikan mereka peluang menimba pengalaman atau dapat mendekatkan mereka dengan industri fesyen seperti di butik, gedung beli-belah, perkilangan serta penerbitan. Pengalaman itu akan dapat membantu perkembangan awal kerjaya mereka dalam industri.

Melengkapkan diri dengan pengetahuan dalam aspek perniagaan dan pemasaran juga perlu. Jika tidak, agak sukar bagi mereka memasarkan dan mejual produk atau hasil rekaan mereka.

Apakah yang akan berlaku kepada industri fesyen dalam jangka masa 10 tahun akan datang dan langkah yang boleh diambil oleh penggiat fesyen dalam menghadapi arus perubahan itu?

Kita sememangnya tidak boleh mengandaikan dengan tepat apa yang akan berlaku dalam industri fesyen. Sememangnya setiap daripada kita mahu selalu dikejutkan oleh sesuatu yang dapat memberikan inspirasi. Gaya dan cita rasa sentiasa bertukar. Industri fesyen terlalu banyak saingannya.

Fesyen sebenarnya berkait rapat dengan masyarakat. Fesyen dan gaya selalunya mencerminkan pemakainya. Apa yang pasti kini pembeli atau pelanggan lebih cerdik fesyen dan sentiasa mahukan yang terbaik daripada industri.

Era digital menjadikan pembeli punyai pengetahuan yang lebih tentang arus fesyen terkini. kebanyakan mereka juga gemar membeli rekaan yang digayakan oleh golongan selebriti dan yang dipaparkan dalam majalah.

Namun, pada waktu yang sama mereka tetap mahukan rekaan yang dilihat punyai keaslian atau keunikan tersendiri.

Mimpi pimpin jalan penulisan Siti

Posted: 03 Jun 2012 09:10 PM PDT

SITI ROSMIZAH juga kerap mengikuti aktiviti mempromosi novelnya setiap kali sesebuah penganjuran pesta buku diadakan.


SIAPA sangka, sebuah mimpi menjadi pencetus untuk seseorang itu menceburi bidang penulisan. Bagi penulis novel, Siti Rosmizah Semail, 40, semuanya bermula daripada mainan tidur itu.

Ditanya lebih lanjut mengenai mimpi yang menjadi titik tolak kepada minat itu, agak memeranjatkan apabila beliau memberitahu, ia bukan mimpi biasa tetapi mimpi selama tiga malam berturut-turut. Mimpi itu, menurutnya, bersambung-sambung hingga menjadi satu cerita yang lengkap.

"Saya mula tertanya, makna mimpi yang saya alami itu. Adakah mainan tidur atau anugerah tuhan?

"Akhirnya saya memutuskan ia satu anugerah tuhan lalu menterjemahkannya dalam bentuk penulisan. Bermula daripada itu, terhasilnya novel pertama saya, Andai Itu Takdirnya pada tahun 2008," kata Siti.

Walaupun tidak pernah menyimpan cita-cita menjadi penulis mahupun memiliki pengetahuan dalam bidang penulisan, mimpi tersebut telah memimpin Siti kepada penghasilan beberapa buah novel sekarang.

Peguam yang juga ibu kepada dua orang anak itu kini senang bergelar penulis sekali gus memiliki syarikat penerbitan, SR Publications.

Ilham daripada kes

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti mengakui, sifat kerjayanya yang banyak bergaul dengan orang ramai, terutama semasa mengendalikan kes-kes menjadi antara faktor penyumbang kepada idea menghasilkan novel.

"Jika dilihat pada novel-novel saya seperti Cinta Kau Dan Aku, Lafazkan Kalimah Cintamu, 7 Hari Mencintaiku dan terkini Takdir Itu Milik Aku, penceritaan lebih kepada kisah masyarakat setempat," katanya.

Mengambil contoh karya Takdir Itu Milik Aku, Siti mengupas isu penderaan mental yang dilakukan oleh seorang suami.


NASKHAH terbaharu, Takdir Itu Milik Aku, mendapat sambutan menggalakkan.


Katanya, ia satu watak yang mungkin wujud dan penceritaan novelnya boleh membawa elemen yang memeranjatkan pembaca.

Lazimnya, kisah suami mendera isteri yang dipapar adalah dari segi fizikal dan bukan mental. Bagitupun, Siti mengetengahkan hakikat penderaan mental yang membawa impak yang lebih teruk buat mangsa sekali gus memerlukan pemulihan trauma yang jauh lebih lama.

Wanita yang meminati penulis novel dan skrip drama Sharifah Abu Salem mengakui, dia mengambil masa sekitar tiga bulan untuk menghasilkan sesebuah novel.

Tetapkan tempoh masa

"Saya perlu mengehadkan tempoh masa penulisan dan memberikan deadline untuk menyiapkannya atas faktor kesibukan kerja. Jika saya tidak berbuat demikian, ia akan mengganggu tugasan saya yang lain. Atas faktor itu, disiplin amat penting," ujarnya.

Selain itu, Siti Rosmizah juga mengakui bahawa bidang penulisan novel mempunyai cabaran tertentu.

Baginya, menjiwai watak-watak yang digarap, misalnya bagi watak sedih, dia perlu menyerap emosi kesedihan sebelum mula mengarang.

"Selaku penulis, saya perlu menangis dan merasai kesedihan. Ia akan menyumbang kepada impak pada diri pembaca. Begitu juga dengan watak komedi, perkara yang sama perlu dilakukan supaya pembaca yang membaca turut sama akan ketawa semasa membaca.

"Namun, untuk menghasilkan penulisan sebegini, memerlukan komitmen yang tinggi sebab kita perlu hidup dalam dunia halusinasi seketika," kata Siti yang percaya ia turut menyebabkan tekanan dan menjadi cabaran utama.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories