RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Nursuhaila didakwa pernah ditampar ibu

Posted: 14 May 2012 09:41 PM PDT

JIMMY dan Nursuhaila ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Pengacara Jimmy Shanley semalam mendakwa isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy pernah ditampar oleh ibu kandungnya pada 1 Oktober 2010 sehingga memaksa wanita itu (ibu mertua) menghubungi Jimmy untuk tumpang bermalam di rumahnya.

Jimmy, 31, yang memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, di hadapan Hakim Syarie, Saharuddin Selamat juga mendakwa, Nursuhaila, 26, pernah datang ke rumahnya tiga hari selepas itu bagi memujuk ibunya pulang serta meminta cerai daripadanya.

"Pada 4 Oktober 2010, defendan (Nursuhaila) datang ke rumah, dia minta maaf pada saya dan minta cerai serta tidak mahu kes ini berpanjangan.

"Saya hanya mendengar penjelasannya dan ibu mertua saya kemudian balik mengikut defendan," katanya semasa disoal balas peguam syarie yang mewakili Nursuhaila, Saadiah Din.

SPR tubuh pasukan pemantau

Posted: 14 May 2012 09:39 PM PDT


SEBAHAGIAN pegawai pengurus pilihan raya yang hadir pada majlis taklimat pasukan penguat kuasa pemantau kempen pilihan raya di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Pahang dan Selangor menjadi negeri terawal mempunyai pasukan penguat kuasa pemantau kempen pilihan raya yang ditubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, di Pahang pasukan itu ditubuhkan bagi kerusi Parlimen manakala di Selangor pula untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Penubuhan pasukan ini yang berperanan memastikan kempen pilihan raya berjalan lancar akan diperluaskan ke negeri lain pada pertengahan bulan depan, mengikut keperluan dan kesesuaian di setiap negeri bagi menjimatkan kos.

"Pengarah SPR di setiap negeri sedang mendapatkan pandangan daripada pegawai pengurus pilihan raya untuk menentukan sama ada pasukan ini perlu ditubuhkan di kawasan Parlimen atau DUN," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat berhubung pasukan tersebut kepada pegawai pengurus pilihan raya bagi negeri Selangor di sini semalam.

Tipu: penasihat kewangan, perunding cukai didakwa

Posted: 14 May 2012 09:39 PM PDT


Ai Koon ketika didakwa atas tuduhan menipu di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Seorang lelaki dan seorang wanita, yang menghadapi dua pertuduhan menipu melibatkan wang berjumlah RM1.13 juta mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Bagi pertuduhan pertama, Ismahadi Ahyali, 52, seorang penasihat kewangan dan Teoh Ai Koon atau dikenali sebagai Kamolnat Kijvanit, 43, perunding cukai didakwa menipu Heng Gee Hooi, 47, seorang pengarah syarikat Barisan Elite Sdn. Bhd., sehingga mendorong mangsa memindahkan wang RM834,210 milik syarikat itu ke dalam akaun milik Ismahadi.

Perogol pelancong direman

Posted: 14 May 2012 09:38 PM PDT


PENGANGGUR direman tujuh hari untuk membantu siasatan kes cabul dan rogol pelancong Switzerland.


KOTA BHARU – Seorang remaja berumur 18 tahun direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul dan rogol melibatkan dua pelancong Switzerland yang baru tiba ke negeri ini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, suspek ditahan reman bermula semalam sehingga 20 Mei ini bagi disiasat mengikut Seksyen 354/376 Kanun Keseksaan iaitu cabul dan rogol selepas ditahan pada pukul 5 petang kelmarin.

"Suspek merupakan seorang penganggur ditahan di sebuah rumah banglo di Taman Intan, Lundang yang juga dipercayai menjadi lokasi dua wanita Switzerland itu dirogol dan seorang lagi dicabul," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Himpunan belia Johor sasar 100,000 peserta

Posted: 14 May 2012 09:37 PM PDT


MD. JAIS (tengah) merasmikan gimik prapelancaran Himpunan Belia Iskandar Malaysia Johor 2012 di Plaza Angsana, Johor Bahru baru-baru ini.


JOHOR BAHRU – Himpunan Belia Iskandar Malaysia Johor 2012 yang akan diadakan pada 17 hingga 20 Mei ini menyasarkan penyertaan 100,000 belia dari seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday berkata, program anjuran bersama kerajaan negeri, Jabatan Belia dan Sukan Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar dan Majlis Belia Negeri itu diadakan sempena Sambutan Hari Belia Negara 2012.

Katanya, pelbagai program menarik telah disediakan di beberapa lokasi antaranya di Plaza Angsana, Danga City Mall, Dataran Bandaraya, Kompleks Belia dan Sukan serta Johor Premium Outlet, Kulaijaya.

Jelasnya, program tersebut diadakan sebagai menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan platform atau ruang kepada para belia di negeri ini menyertai pelbagai aktiviti berfaedah.

"Sebanyak 75 aktiviti daripada 13 segmen telah dirancang bersempena program ini termasuk Karnival Belia Islam Malaysia, Karnival Jom Centre, kem sukarelawan, program menanam pokok, sukan permotoran, pertandingan catur.

"Kami juga merancang untuk mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records melalui persembahan J.Robikton tanpa henti selama 26 jam yang dikendalikan Persatuan J.Robik negeri dan mengumpul 30,000 buah buku di bawah Persatuan Srikandi Johor," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Himpunan Belia Iskandar Malaysia Johor baru-baru ini.

50 IPT berentap Debat Perdana Pengguna Siswa

Posted: 14 May 2012 09:36 PM PDT


EMPAT pasukan yang mewakili institusi pengajian tinggi akan berentap pada pusingan akhir Debat Perdana Pengguna Siswa 2012 di UKM Bangi hari ini. –Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Sebanyak empat pasukan yang mewakili institusi pengajian tinggi (IPT) akan berentap pada pusingan akhir Debat Perdana Pengguna Siswa 2012 di Dewan Tun Abdullah Mohd. Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.

Para pendebat akan membawa usul "Dewan Ini Akan Memiliknegarakan Industri Barangan Kawalan''.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datin Mahani Tan Abdullah berkata, sejak 11 Mei lalu, sebanyak 76 pasukan daripada 50 IPT seluruh negara telah selesai berdebat pada peringkat saringan.

"Esok (hari ini) pusingan akhir akan menentukan siapakah juara pertandingan ini yang pertama kali dianjurkan oleh KPDNKK," katanya di sini semalam.

HSBB jalur lebar terbaik rantau ini

Posted: 14 May 2012 09:35 PM PDT


MELALUI infrastruktur HSBB, masyarakat di negara ini berpeluang menikmati kemudahan jalur lebar yang lebih baik dan pantas. – Gambar hiasan


NEW DELHI – Rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Telekom Malaysia Bhd. (TM) telah mengetepikan rangkaian jalur lebar nasional (NBN) lain yang sedang dilaksanakan di rantau ini.

Saingan bagi projek rangkaian jalur lebar tersebut ialah Rangkaian Jalur Lebar Negara Generasi Akan Datang (NGNBN) Singapura, Australia dan New Zealand.

Menurut Informa Telecoms & Media (ITM), projek HSBB yang merupakan usaha sama antara TM dengan kerajaan itu telah mempunyai 310,000 pelanggan pada April lalu.

Ia turut membabitkan 1.2 juta premis yang mempunyai rangkaian tersebut dan ia dijangka siap pada masanya dan dalam bajet yang ditetapkan.

"Projek pemasangan HSBB berjalan lancar di Malaysia dan sudah ada perbincangan untuk meneruskan rangkaian itu, sekali gus ia akan melepasi sasaran asal sebanyak 20 peratus daripadajumlah kediaman dan berkembang luas ke kawasan luar Lembah Klang," menurut firma penganalisis yang beribu pejabat di London itu di sini semalam.

Hevance pejuang lagu Iban

Posted: 14 May 2012 09:35 PM PDT



MALAM Sabtu lalu melakar sejarah baharu yang sukar dilupakan buat anggota band Hevance apabila mereka muncul juara Anugerah Juara Rentak Ruai 2011 (AJARR) 2011, suatu acara muzik paling berprestij buat penyanyi Iban yang berlangsung di Dewan Suarah, Sibu, Sarawak.

Kali pertama menjejakkan kaki di pentas AJARR 2011 menerusi lagu rock berjudul Aku Nemu (Aku Tahu) ciptaan vokalis Hevance sendiri, Aldrich, Hevance yang turut dianggotai Joners (gitar), Lucas (bass), Gideon (dram) dan Nathanial (keyboard) tidak pernah menyangka mereka akan menewaskan 11 penyanyi popular Iban yang lain.

Bertemu dengan mereka sebaik AJARR 2011 berakhir, senyuman kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap anggota Hevance.

Kata Aldrich: "Memang terkejut kerana ini kali pertama kami cuba nasib dan terus menang. Ketika nama band kami diumumkan juara, saya seperti mahu pengsan dan terasa kaku buat sementara waktu.

"Kami buat persembahan dalam AJARR 2011 adalah untuk menghiburkan orang ramai dan berkongsi muzik kami dengan semua peminat muzik Iban. Kemenangan itu sesuatu yang tidak ada dalam fikiran kami tetapi dalam masa yang sama kami bersyukur kerana juri melihat potensi serta bakat yang ada dalam band Hevance."

Ditanya siapakah antara sebelas penyanyi yang bertanding pada AJARR 2011 yang memberi saingan paling sengit kepada Hevance, kesemua anggota band Hevance memilih penyanyi jelita Melissa Francis. Malah dalam jangkaan Hevance, Melissa yang bakal muncul sebagai juara.

"Kami semua ingat Melissa yang akan menang kerana persembahan, vokal dan bakat yang dimilikinya tidak perlu dipertikaikan lagi. Tambahan lagunya juga sungguh sedap dan amat popular dalam kalangan peminat muzik Iban," ujar Nathanial melontarkan pandangannya.

Aku Nemu yang merupakan single kedua daripada album pertama band Hevance yang diberi judul Sada Ati (Rintihan Hati) dicipta dalam masa hanya empat jam sahaja. Bagaimanapun persiapan untuk persembahan dalam AJARR 2011 telah bermula sejak bulan Mac yang lalu.

"Kami melakukan persiapan dalam tempoh kira-kira dua bulan. Masa yang lama diambil kerana kami ingin memberi impak pada kemunculan pertama kami. Ternyata latihan itu sangat berbaloi apabila kami bergelar juara," tutur Aldrich yang turut mencipta lagu untuk penyanyi Iban yang lain.


MELISSA menguasai pentas AJARR 2011 dengan pesona yang tersendiri.


Kemenangan Hevance yang membawa muzik baharu dalam industri muzik Iban yang selama ini dimonopoli oleh genre irama Malaysia khususnya joget, namun kemenangan band Masterpiece yang membawa irama Iban Fusion pada AJARR 2010 telah mengubah senario tersebut.

Akui Aldrich, Masterpiece memberi suntikan semangat untuk mereka terus berjuang dalam irama Iban Fusion berbanding dengan irama Malaysia yang lebih diterima secara meluas oleh segenap usia etnik Iban di Sarawak.

"Saya dapat lihat perkembangan yang amat menggalakkan sejak Masterpiece menang AJARR 2010. Munculnya lebih banyak muzik genre baharu dalam industri muzik Iban serta orang ramai semakin terbuka terhadap muzik baharu seperti kami.

"Kalau ikutkan orang-orang tua lebih sukakan lagu irama Malaysia, tetapi apabila anak muda lihat muzik rock juga semakin diterima, muzik Iban semakin berkembang kerana ramai anak muda semakin berani muncul dengan lagu ciptaan masing-masing tidak ketinggalan band Hevance juga," luah Nathanial.

Hevance ditubuhkan pada tahun 2001 dan mula aktif dalam industri muzik Iban sejak tahun 2008. Menurut Aldrich band Hevance telah melalui beberapa pertukaran anggota dan mereka telah melahirkan album sulung pada bulan Jun tahun lalu.

Kemenangan Hevance melayakkan mereka menerima trofi dan wang tunai sebanyak RM5,000.

Melissa paling popular

Melissa Francis yang membawakan lagu ciptaan adik lelakinya, Hairee Francis berjudul Mutus Ati (Kurelakan) sememangnya memberi impak yang cukup hebat. Tidak hanya daripada kostum yang dipakainya, malah Melissa turut melakukan gimik lakonan ketika melakukan persembahan.

Melissa merupakan penyanyi Iban yang paling popular buat masa ini. Buktinya, Mutus Ati telah dipilih menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh peminat sebagai juara lagu popular dengan undian sebanyak 21,226, satu angka yang cukup besar.

Bukan itu sahaja, Melissa turut dipilih oleh juri profesional sebagai pemenang vokal terbaik. Kemenangannya itu membolehkan Melissa membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM5,000 secara keseluruhannya. RM2,000 untuk vokal terbaik dan RM3,000 untuk juara lagu popular.

"Saya tidak sangka akan menang dua anugerah sekali. Lagu Mutus Ati sangat dekat dengan jiwa saya dan apabila dipilih sebagai juara lagu popular, saya cukup senang kerana lagu yang dicipta oleh adik saya diterima ramai.

"Mengenai kemenangan vokal pula, saya rasa ramai penyanyi lain juga hebat-hebat. Mungkin ini sudah rezeki saya, sudah pasti kemenangan ini sesuatu yang cukup menggembirakan," katanya yang mengambil masa selama tiga bulan melakukan persediaan untuk AJARR 2011.

Melissa yang membawakan lagu pop dan bekerja sebagai penyunting visual di Kuala Lumpur berkata, masa latihan sangat terbatas buatnya kerana dia mempunyai pekerjaan yang tetap dan latihan dijalankan hanya pada hujung minggu sahaja.


HEVANCE layak dinobatkan sebagai juara AJARR 2011 berdasarkan kelainan muzik yang dibawakan mereka.


Disoal mungkinkah Mutus Ati berkaitan dengan kisah peribadinya selepas penceraiannya dengan penyanyi Rickie Andrewson pada bulan Jun 2011 yang juga merupakan pemenang lagu popular tempat ketiga menerusi lagunya Engkerecam Cuka (Bermasam Muka) dalam AJARR 2011.

Akui Melissa, pada awalnya lagu itu memang bersifat peribadi mengenai hatinya tetapi kini, lagu itu hanya untuk hiburan semata-mata.

"Dulu memang bersifat peribadi kerana saya kecewa dengan perkahwinan tetapi sekarang sudah tidak ada makna lagi. Saya sudah melupakan semua yang berlaku dan memandang ke hadapan sahaja. Lagu itu hanya untuk hiburan semata-mata," katanya yang mula aktif menyanyi di Kuala Lumpur.

Meskipun ada parut di hati wanita berusia 26 tahun itu, tetapi dia masih boleh berdiri di atas pentas yang sama dengan bekas suaminya di dalam AJARR 2011.

"Apabila berkaitan dengan hal kerjaya, saya bersikap profesional. Saya tidak ada sebarang masalah untuk berada dalam satu pentas yang sama dengan dia (bekas suami). Ketika menyanyi, saya memang menyanyi dengan penuh perasaan kerana menghayati lirik lagu itu," jawab Melissa.

Selain Mutus Ati yang dipetik daripada album kelimanya, Melissa turut memuatkan lagu tersebut yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu dalam album kelimanya yang dikeluarkan pada tahun lalu.

Selain Melissa dan Rickie Andrewson, penyanyi Lucy M mendapat tempat kedua untuk lagu popular dengan undian sebanyak 8,396.

Persembahan Terbaik

Band Ethnic Transmissions (ET) yang pertama kali menyertai AJARR 2011 dengan lagu Pulai Pengujung (Penghujung) mampu tersenyum apabila berjaya membawa pulang trofi persembahan terbaik dan menerima wang tunai berjumlah RM2,000.

Meskipun membuat persembahan tanpa vokalis utamanya yang juga pencipta Pulai Pengujung, Macmillan Lungan yang terpaksa bekerja pada hari persembahan, ET yang dianggotai oleh Estee Clara (gitar), David (drum), Daniel Anding (gitar utama) dan Norman Anding (bass) tetap memberi persembahan terbaik dengan vokalis gantian, Kent yang merupakan anggota Masterpiece.

"Mungkin kami menang sebab Kent juga. Jika dia tidak menyanyikan lagu dengan baik dan bersungguh-sungguh ketika melakukan persembahan, kami tidak akan menerima trofi ini. Kalau daripada persembahan, kami telah beri 110 peratus tenaga," ujar Norman.

ET mengharapkan selepas kemenangan mereka di AJARR 2011 dapat membuka mata banyak pihak tentang kualiti muzik Iban.

"Kami main muzik untuk menghiburkan orang ramai dan juga memartabatkan lagi muzik Iban ke peringkat yang lebih tinggi," balas Norman lagi.

Ketua juri Iskandar Bujang menjelaskan kesemua pihak juri sebulat suara memilih band Hevence kerana kualiti serta perbezaan muzik yang dibawakan oleh mereka.

Selain Hevence, Melissa, Ethnic Transmissions, Lucy M dan Rickie Andrewson finalis lain yang turut bertanding termasuk Inochi Austin, Rolisawati, Wendy, Betty, James Jacob, Clemence Joys dan Jennarino Jeraki. Artis yang turut membuat persembahan ialah Amir UK's.

AJARR 2011 merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh stesen radio swasta Cats FM. Kesemua 12 buah lagu yang bertanding dipilih selepas beberapa minggu menjuarai Carta Lagu Terbilang Cats yang disiarkan setiap Ahad pada pukul 4 hingga 6 petang dalam program Cats Ujung Minggu di radio Cats FM.

Johan enggan menilai diri

Posted: 14 May 2012 09:34 PM PDT


JOHAN menjawab spekulasi yang mendakwa dia bakal menyertai Sepahtu.


MENURUT kaji selidik Pengukuran Pendengar Radio Nielson baru-baru ini, stesen radio Era FM kembali merampas kedudukan pertama dengan jumlah pendengar seramai 4.8 juta.

Bagi segmen pagi, Riuh Pagi Era bersama Johara (Johan, Ray dan Haniff) merupakan siaran paling popular dengan jumlah pendengar seramai 2.56 juta. Peningkatan prestasi stesen radio itu dikatakan banyak bergantung pada kredibiliti Johan Raja Lawak sebagai pelawak spontan yang menceriakan setiap pagi hari Isnin hingga Jumaat seawal pukul 6 hingga 10 pagi.

Johan juga terbabit dengan spekulasi yang mendakwa dia bakal menyertai kumpulan Sepahtu.

Kosmo! yang sempat bersua dengan Johan dalam satu acara di Holiday Villa Subang, Selangor baru-baru ini mendapatkan komen lanjut daripadanya.

Kosmo!: Benarkah Johan akan bergabung dengan kumpulan Sepahtu?

JOHAN: Saya tak cakap apa-apa dan tak tahu menahu pun mengenal hal ini. Saya dengar (cerita) pun daripada orang yang bercerita.

Stesen radio Era FM kembali mendapat tempat di hati pendengar

di Malaysia. Adakah mungkin faktor utamanya kerana adanya anda sebagai pelawak?

Bukan sebab

saya seorang. Peningkatan rating ini berpunca daripada kerjasama semua pihak yang terlibat dengan Era FM. Saya tak boleh cakap prestasi yang baik ini disebabkan oleh saya seorang.

Justeru, bagaimana Johan menilai diri Johan sekarang?

Saya tidak boleh menilai diri sendiri, kalau betul saya mengatakan diri ini hebat maka 70 peratus daripadanya adalah tipu. Biar orang lain yang menilai kita dan penilaian itu yang boleh kita jadikan kayu pengukur.

Mungkin Johan boleh berkongsi sedikit rahsia untuk menarik pendengar berdasarkan pengalaman Johan sebagai pelawak sendiri?

Saya sudah berikan yang terbaik untuk pendengar dan biarkan mereka menilai sendiri. Sekurang-kurangnya saya hasilkan satu kerja yang ikhlas untuk semua. Setiap ayat yang tersirat dan keluar daripada mulut saya tak dibenarkan melalui proses penyuntingan supaya tidak menampakkan ia terlalu sempurna.

Apa maksud Johan tidak mahu nampak terlalu sempurna?

Jika tiada proses penyuntingan, setiap percakapan deejay akan nampak semula jadi dan kata-kata yang keluar bunyinya ikhlas disampaikan kepada pendengar. Saya mengakui akan ada kesilapan apabila bercakap dan kami akan jadikan silap itu sebagai jenaka untuk berhibur.

Bagaimana rutin harian Johan sebagai penyampai radio dan membahagikan masa dengan perkara lain selain Era FM?

Saya mula menjadi penyampai radio Era FM secara rasminya pada bulan Ogos tahun lalu dan sepenuhnya tugas saya bermula pada bulan Januari 2012. Setiap hari Isnin hingga Jumaat saya perlu bangun seawal pukul 4 pagi untuk bersiap dan harus berada di dalam konti sebelum pukul 5.45 pagi. Saya perlu membahagikan masa sebaik mungkin supaya tidak mengganggu kesihatan.

Perkembangan terkini Johan?

Saya akan muncul dalam program bual bicara saya sendiri berjudul, Acaner Tu Johan di Astro Warna mulai hari Khamis, pukul 10 malam, 7 Jun nanti. Program ini terbitan JWH Production Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat produksi saya sendiri.

Projek terbaharu Awie, Wings

Posted: 14 May 2012 09:33 PM PDT


AWIE bakal muncul dalam filem berjudul Amukan Frankenstein Tempatan.


KALI terakhir kumpulan Wings muncul dengan album studio mereka adalah pada tahun 2002. Selepas itu, mereka hanya mengadakan persembahan pentas dan konsert. Bagi mengubati rindu peminat terhadap lagu-lagu mereka, Awie merancang untuk menghasilkan album baharu dengan kumpulan Wings.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 44, dia dan Wings kini sedang sibuk mengumpul lagu-lagu yang terbaik bagi album baharu mereka.

"Sehingga kini kami masih lagi mengumpul bahan untuk album baharu kami dan apa yang menariknya untuk album kami kali ini kerana kami akan memuatkan semua lagu-lagu baharu," ujarnya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum kerjasama Awie bersama Arlief Event & Management, sebuah syarikat pengurusan majlis untuk misi ekspedisi bersama peminat Awie ke Beijing dan Mongolia yang diadakan di Royal Bintang The Curve, Petaling Jaya.

Mengakui cukup selesa bersama Wings, kata Awie, buat masa ini yang menjadi masalah buat kumpulan itu adalah mencari penulis lirik yang sesuai untuk lagu mereka.

Ulasnya, kebanyakan lagu yang mereka ada kini mempunyai melodi yang menarik tetapi mereka tidak mempunyai lirik yang hebat seperti yang terdapat dalam lagu-lagu lama mereka.

"Kebanyakan lagu kumpulan Wings sebelum ini liriknya dihasilkan oleh JS Kevin dan arwah Loloq. Lagu-lagu seperti Sejati, Taman Rashidah Utama, Intanku Kesepian dan Misteri Mimpi Syakila mempunyai lirik yang hebat dan menjadi lagu berhantu kepada peminat-peminat. Kami ingin mengembalikan fenomena seperti itu kepada peminat-peminat," tuturnya.

Ditanya adakah dia dan Wings ingin memberikan nafas baharu pada lagu-lagu popular Wings untuk album baharu mereka nanti, ungkap Awie, setakat ini Wings masih belum membuat perancangan untuk memasukkan lagu-lagu lama di dalam album baharu mereka.

"Walaupun ada permintaan daripada peminat yang ingin mendengar semula lagu-lagu lama Wings yang diberi nafas baharu tetapi kami tiada sebarang perancangan untuk susunan muzik baharu bagi lagu-lagu lama Wings. Namun, pada masa akan datang tak tahu lagi. Kalau ikutkan, saya sebenarnya teringin juga menyanyikan lagu-lagu lama Wings yang diberi nafas baharu," katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang terkenal dengan watak Husin dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu juga bakal bekerjasama sekali lagi dengan pengarah, Mamat Khalid untuk filem baharu yang berjudul Amukan Frankenstein Tempatan.

Masih berkonsepkan cerita komedi, bagaimanapun menurut Awie, cerita itu bukan kesinambungan kepada filem Hantu Kak Limah Balik Kampung atau Zombie Kampung Pisang.

"Walaupun berkonsepkan komedi seram, cerita ini bukan kesinambungan cerita-cerita komedi seram Mamat Khalid sebelum ini. Sekali lagi saya akan bekerjasama dengan Mamat Khalid dan jangan salah faham pula saya hanya menerima tawaran daripadanya saja. Saya cuma serasi bekerjasama dengan Mamat," ulas Awie yang baharu memenangi gelaran Aktor Terbaik bagi kategori Teater Muzikal BOH Cameronian Arts Awards 2012.

Duta pelancongan

Sementara itu, Awie baru saja menandatangani memorandum kerjasama bersama Arlief Event & Management, sebuah syarikat pengurusan majlis untuk misi ekspedisi ke Mongolia dan Beijing bersama peminat bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Ekspedisi kembara berkonsepkan percutian itu semestinya sesuatu yang tidak harus dilepaskan kerana peserta bukan saja akan menjelajah destinasi menarik, malah peluang beramah mesra dengan Awie sepuas-puasnya.

Menurut Pengarah Arlief Event & Management, Muhammad Alif Haziq Azman, pemilihan Awie untuk ekspedisi itu adalah kerana dia merupakan artis popular yang memiliki jutaan peminat.

"Awie seperti yang kita tahu ada pengaruh besar dalam industri hiburan tanah air. Saya juga antara seorang peminat setianya sejak daripada kecil lagi. Ini merupakan projek kali pertama syarikat saya dan saya teruja dan gembira kerana Awie bersetuju untuk terbabit dalam projek julung-julungnya syarikat saya.

Jelas Muhammad Alif, pelbagai aktiviti sudah disusun untuk sesi jelajah ke Beijing dan Mongolia nanti namun buat masa ini kami mengalukan sambutan daripada sesiapa yang berminat untuk menyertainya," katanya.

Menyasarkan seramai 200 peserta, Alif memberitahu, selain dapat meluangkan masa bersama Awie, peminat yang menyertai ekspedisi itu juga berpeluang melawat ke tempat-tempat menarik yang terdapat di Beijing dan Mongolia.

Percutian selama enam hari lima malam itu menawarkan pakej berpatutan iaitu sebanyak RM2,990 seorang.

Pesawat terhempas di Himalaya

Posted: 14 May 2012 09:32 PM PDT

BEBERAPA anggota penyelamat memeriksa lokasi nahas pesawat milik syarikat penerbangan Agni dekat Jomson, Nepal semalam.


KATHMANDU - Sebuah pesawat terhempas di sebuah gunung di banjaran Himalaya ketika cuba mendarat di sebuah lapangan terbang di utara Nepal semalam dengan menyebabkan 15 orang terbunuh manakala enam lagi parah.

Ketua pentadbir tempatan, Laxmi Raj Sharma berkata, pesawat berkenaan berpatah balik untuk mendarat di Lapangan Terbang Jomson sebelum kapal terbang berkenaan terhempas.

Bangkai pesawat bertaburan tetapi kapal terbang itu tidak terbakar.

Menurut Sharma, siasatan awal menunjukkan pesawat itu mengalami masalah teknikal.

Katanya, mangsa yang terselamat diterbangkan ke bandar Pohkara, dekat Jomson, untuk menerima rawatan.

Perdana Menteri, Baburam Bhattarai dalam satu kenyataan melahirkan simpati berhubung kematian 15 orang dalam nahas udara itu.

Seorang pegawai polis, Nareswor Aryal berkata, pesawat itu membawa dua juruterbang dan seorang kru bersama 16 penumpang rakyat India dan dua warga Barat.

Lapangan terbang Jomsom merupakan pintu masuk ke destinasi popular untuk pendaki dan penganut Hindu yang dalam perjalanan ke Kuil Mutinath.

Ia terletak sekitar 200 kilometer ke barat daya ibu kota Nepal, di sini.

Pesawat jenis Dornier yang terhempas itu milik syarikat penerbangan tempatan, Agni Air.

Salji luar biasa di Bosnia

Posted: 14 May 2012 09:32 PM PDT


SEBUAH kereta melalui sebatang jalan raya dalam cuaca bersalji dekat Sarajevo, Bosnia semalam.


SARAJEVO, Bosnia-Herzegovina - Penduduk Bosnia sekali lagi berdepan salji pada bulan ini walaupun musim sejuk sudah berakhir di negara berkenaan.

Suhu di Bosnia turun kepada lima darjah Celsius semalam dengan lalu lintas sesak ekoran orang ramai mengalami kesukaran untuk ke tempat kerja.

Salji turut menyebabkan sekitar 50 buah kampung di kawasan pergunungan dekat ibu kota Bosnia, di sini terputus bekalan elektrik.

Cuaca luar biasa itu berlaku selepas seminggu suhu panas mencecah 27 darjah Celsius dicatat di sini pada Sabtu lepas.

Suhu sejuk itu diramalkan berterusan hingga pertengahan minggu ini apabila salji akan digantikan dengan hujan lebat.

Budaya minum arak kian teruk di Britain

Posted: 14 May 2012 09:31 PM PDT


BEBERAPA orang menghisap rokok semasa mereka minum arak di luar sebuah bar di Soho, London pada 21 April lalu.


LONDON - Pengambilan arak secara berlebihan tanpa henti mencapai tahap kritikal di Britain, kata beberapa pakar kesihatan.

Pada hujung minggu, sekumpulan lelaki dan wanita keluar dari pub dan kelab malam dalam keadaan terhuyung-hayang akibat mabuk menjadi perkara biasa di ibu kota Britain di sini.

Sebahagian wanita berkenaan tanpa segan silu muntah di kaki lima tanpa menghiraukan pakaian mereka terselak dan menampakkan seluar dalam.

Sebahagian daripada mereka terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri ekoran minum terlalu banyak.

"Anda malu jika dilihat mabuk di rumah. Di sini (pub dan kelab malam), ia merupakan satu trend," kata seorang pelajar universiti, Kaisa Toroskainen semasa dia minum bir di sini bersama beberapa rakannya.

Mengulas tentang aktiviti tidak sihat itu, beberapa pakar menyatakan budaya minum arak menyebabkan Britain menanggung beban kewangan sekitar AS$4.4 bilion (RM13.57 bilion) setahun.

Ia termasuk bil hospital dan kos rawatan kesihatan berkaitan pengambilan minuman keras terutamanya penyakit hati yang melonjak 25 peratus sejak beberapa tahun lalu.

"Semakin ramai belia berusia lewat 20-an hingga pertengahan 30-an menghidap penyakit hati akibat minum arak," kata seorang pakar hati di Universiti Newcastle, Chris Day.

"Keadaan ini tidak berlaku di Britain 20 tahun dahulu," tambahnya.

Had umur untuk minum arak di Britain ialah 18 tahun berbanding 21 tahun di Amerika Syarikat.

Harga arak di negara ini murah iaitu kurang daripada $1.10 (RM3.39) untuk sebotol minuman keras.

Ibu 90 tahun cari rezeki untuk bantu anak

Posted: 14 May 2012 09:31 PM PDT


AFP GAMBAR menunjukkan Xiuying (kanan) makan bersama anak perempuannya yang sakit di rumah mereka.


BEIJING – Seorang wanita berusia 90 tahun, Li Xiuying mengutip botol plastik untuk dijual di pusat kitar semula di sini.

Xiuying turut mengutip barang lain yang ditemuinya dekat pusat beli-belah sebelum dikumpulkan untuk dijual di pusat kitar semula.

Wang yang diperoleh hasil jualan itu akan digunakannya untuk membeli ubat-ubatan untuk seorang anak perempuannya berusia 74 tahun yang sakit.

Anak perempuannya itu tinggal bersamanya di sebuah rumah.

Xiuying menyimpan barang-barang yang ditemuinya itu di dalam rumahnya sebelum ia dijual

di pusat kitar semula.

Lelaki paling pendek lawat taman hidupan liar

Posted: 14 May 2012 09:30 PM PDT


DOLAKH mendukung Dangi di tepi dua ekor beruang koala yang memanjat sebatang pokok di taman Wildlife World, Sydney semalam.


SYDNEY - Lelaki paling pendek di dunia, Chandra Bahadur Dangi melawat sebuah taman hidupan liar di sini semalam.

Dia yang berasal dari Nepal dan berusia 72 tahun melawat taman itu, Wildlife World bersama dengan anak saudaranya, Dolakh Dangi.

Dangi yang setinggi 54.6 sentimeter tiba kelmarin bagi mempromosikan negaranya kepada penduduk Australia.

10 cedera kerbau jantan mengamuk

Posted: 14 May 2012 09:29 PM PDT


GAMBAR bertarikh 10 Mei lalu menunjukkan seekor kerbau jantan mati ditembak selepas dia mengamuk di bandar Hue, Vietnam.- Agensi


HANOI - Seorang pegawai menyatakan seekor kerbau mencederakan sepuluh orang di tengah Vietnam apabila haiwan itu mengamuk di tempat awam.

Bagaimanapun, haiwan itu kemudian mati ditembak di sebuah tadika.

Seorang pegawai tempatan, Dang Van Ngan berkata, kerbau jantan seberat 300 kilogram itu berlari sekitar tiga jam sejauh hampir 20 kilometer di bandar Hue.

Menurutnya, dalam kejadian pada Khamis lalu, haiwan itu menjatuhkan sebuah motosikal, merempuh pintu dan meruntuhkan katil di sebuah rumah.

Ngan berkata, tiga sekeluarga yang berada di rumah berkenaan bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Haiwan itu turut menyerang seorang wanita tua yang melintas sebatang jalan raya.

Menurut Ngan, wanita itu cedera di kepala dan dirawat di sebuah hospital.

Sembilan orang lagi cedera ringan.

Haiwan itu seterusnya menuju ke sebuah tadika berdekatan.

Beberapa guru tadika itu mengarahkan sejumlah kanak-kanak naik ke tingkat dua premis berkenaan selepas mereka melihat kerbau tersebut.

Kerbau itu kemudian terperangkap di laman sekolah tersebut yang berpagar sebelum dua askar tiba untuk menembak haiwan tersebut.

Haiwan itu mati selepas ditembak sebanyak lapan kali.

Pihak berkuasa masih tidak mengetahui pemilik kerbau itu, dari mana ia datang dan kenapa haiwan tersebut mengamuk.

Pencuci tandas peroleh ijazah

Posted: 14 May 2012 08:18 PM PDT


FILIPAJ menerima ucapan tahniah daripada Naib Canselor Universiti Columbia, Donald Schlosser di New York kelmarin.


NEW YORK – Seorang penjaga bangunan Universiti Columbia, Gac Filipaj merupakan antara pelajar cemerlang pusat pengajian tinggi itu.

Filipaj berusia 52 tahun dan dia bekerja membersihkan lantai, mengosongkan tong sampah dan membersihkan tandas di universiti tersebut di sini.

Kelmarin, dia berasa bangga kerana menerima ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam majlis konvokesyen universiti itu.

Filipaj belajar selama 12 tahun dalam pengajian klasik sambil bekerja sepenuh masa sebagai penjaga bangunan.

Pada awalnya, dia mempelajari bahasa Inggeris selepas melarikan diri daripada perang saudara di negara kelahirannya, Yugoslavia pada tahun 1992.

Berasal daripada etnik Albania, dia berhijrah ke Amerika Syarikat kerana bimbang akan dipaksa menyertai tentera Serbia.

Selepas mendapat ijazah, Filipaj kembali bertugas sebagai penjaga bangunan di universiti berkenaan.

Namun, dia berharap akan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana.

Penjaga bangunan tersebut masih menghantar wang kepada keluarganya yang bekerja di sebuah ladang di Montenegro.

Falsafah wayang kulit

Posted: 14 May 2012 08:18 PM PDT

ALAT yang dipanggil pemetik ini sangat penting dalam wayang kulit untuk memberi isyarat dan membuat kesan bunyi.


SEBAIK lampu di belakang layar putih dihidupkan, susunan watak wayang kulit serta-merta hidup. Suara tok dalang, panggilan kepada individu yang menghidupkan karakter tersebut berkumandang di seluruh ruang bilik.

Mula mengenali wayang kulit seawal usia tiga tahun, Che Mohd. Nasir Yusof, mempelbagaikan intonasi suara mengikut karakter yang dimainkan.

Watak utama, Raja Seri Rama bersuara tegas tetapi bersopan manakala Tuan Puteri Siti Dewi pula bersuara halus. Watak-watak comic relief seperti Wak Long dan Pak Dogo mempunyai nada lucu dan sedikit kelam-kabut.

Pertuturan tok dalang memiliki dinamik apabila menghasilkan ketegangan pada adegan-adegan tertentu. Dialog-dialog disampaikan berkisar isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara.

Bagi memberi isyarat kepada pemuzik untuk pengenalan babak seterusnya dan menghasilkan kesan bunyi, tok dalang menggunakan sejenis alat yang digelar sebagai pemetik.

"Jadi tok dalang mesti tahu serba-serbi. Mesti tahu menebang pokok untuk buat alat muzik. Harus pandai menjahit baju dan memasak untuk ahli kumpulan," kata lelaki yang dikenali sebagai Pak Nasir ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar lelaki yang berusia 56 tahun itu, wayang kulit Kelantan bersifat tiga dalam satu. Ia mempunyai tiga pengaruh agama iaitu Buddha, Hindu dan Islam.

Pengaruh Buddha dapat dilihat pada kesenian penghasilan watak manakala unsur-unsur Hindu boleh dikesan melalui penggunaan cerita epik Ramayana tetapi nama karakter telah dimelayukan.

Sehubungan itu, ada kalangan pakar-pakar berpendapat wayang kulit Kelantan memiliki hampir 95 peratus unsur Hindu.


Raja Seri Rama dan Tuan Puteri Siti Dewi merupakan watak-watak utama dalam wayang kulit Kelantan.


Namun begitu, bagi Pak Nasir, karakter dan seni fizikal hanya unsur luaran. Paling penting ialah falsafah yang terkandung dalam sesebuah persembahan dan wayang kulit yang dimainnya sarat dengan unsur keislaman.

Kata lelaki yang berasal dari Kampung Bunohan, Kelantan itu, penggunaan seorang tok dalang yang mengawal semua perkara memberi tafsiran bahawa tuhan itu satu.

"Semua karakter sama ada baik mahupun jahat berupa raksasa, jin dan jembalang seperti Bota Raja Wana akan tunduk pada kekuasaan tok dalang," terang Pak Nasir yang telah ke Jepun sebanyak sembilan kali atas tiket wayang kulit.

Gambaran masyarakat

Wayang kulit Kelantan yang dipentaskan pada waktu malam juga mempunyai maksud tersirat. Ketika manusia berada dalam kegelapan, kita memerlukan cahaya untuk dijadikan panduan.

Bayang-bayang itu sendiri memberi gambaran kepada masyarakat umum bahawa lumrah manusia, lekas benar mengalami 'gila bayang' terhadap semua perkara seperti kuasa, wanita dan harta sehingga lupa tanggungjawab.


SETIAP karakter sama ada baik atau jahat dalam pementasan wayang kulit dihidupkan oleh seorang tok dalang.


Mengikut teks asal epik Ramayana versi Melayu, hanya ada tiga karakter iaitu Tuan Puteri Siti Dewi, Raja Seri Rama dan Bota Raja Wana.

Ketiga-ketiga karakter menjadi refleksi pada unsur manusia (Raja Seri Rama), kebaikan (Tuan Puteri Siti Dewi) dan kejahatan (Bota Raja Wana).

Dalam permainan wayang kulit, barulah karakter-karakter lain seperti Maha Risi, Raja Muda Laksamana, Wak Long dan Pak Dogo diwujudkan.

Berbeza dengan wayang kulit Purwa dari Indonesia, mereka lebih menekankan teknik pergerakan karakter. Justeru, ia boleh dimainkan pada waktu siang.

Ia juga bersifat budaya dan dimainkan oleh masyarakat Jawa dan Bali tanpa mengira agama dan semua karakter berpakaian tradisonal Jawa.

Pak Nasir juga tidak menolak terdapat unsur-unsur mistik dalam wayang kulit dengan memuja karakter Pak Dogo. Tindakan itu bertujuan supaya ramai penonton dan berharap mereka datang kembali untuk menonton.

"Tetapi sebagai manusia yang membuat semua karakter ini, mengapa harus kita memuja mereka? Sepatutnya watak-watak ini yang harus tunduk kepada manusia," tegas Pak Nasir.

Latihan ujian gempa bumi

Posted: 14 May 2012 08:17 PM PDT


MUSNAH teruk. Beginilah sebahagian besar kawasan di Aceh selepas dilanda tsunami lapan tahun lalu.


KEBANYAKAN pelajar sekolah di Aceh, Indonesia mempraktikkan perkara yang dipelajari pada sesi latihan persediaan bencana ketika berdepan dengan bencana sebenar.

Pada 11 April lalu, Aceh sekali lagi bergegar. Ketika insiden berlaku, pelajar dan staf di Sekolah Tinggi Jeumpa Puteh, Banda Aceh, tenang dan meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa. Mereka berpendapat ia hanya gegaran kecil yang kerap berlaku memandangkan Aceh antara wilayah Indonesia yang terdedah pada gempa bumi.

"Namun lama-kelamaan gegaran itu semakin kuat dan berlarutan selama beberapa minit. Saya melihat pokok bergoyang, kereta ke depan dan ke belakang manakala tingkap pula tertutup kuat.

"Kami sedari ia bukan gegaran biasa ataupun kecil tetapi gegaran besar yang memerlukan kami meninggalkan kelas pada kadar segera," jelas Zikra Latasha, 15, menceritakan kejadian gempa bumi bermagnitud 8.6 yang menggegarkan Sumatera.

Berkat latihan kecemasan yang acap kali dipraktikkan di sekolah, mereka diajar supaya bertenang dan menumpukan perhatian supaya segera berkumpul di tanah tinggi atau kawasan lapang.

Di tapak perhimpunan dengan menggunakan corong pembesar suara, pengetua mengarahkan para pelajar mematuhi garisan anak panah berwarna merah dan biru yang dilukis di dinding. Anak panah tersebut memberi panduan kepada mereka laluan menuju ke kawasan padang yang luas.

Sambil berzikir mengucapkan Subhanallah (Maha Suci Allah), mereka pantas mencapai beg sekolah dan berjalan keluar dari kelas masing-masing apabila diberitahu tentang gegaran besar tersebut. Tragedi itu merupakan gempa kali kedua terbesar berlaku di Lautan Hindi selepas tsunami pada tahun 2004 yang telah meragut 170,000 nyawa penduduk Aceh.

Amaran berjaga-jaga

Sementara itu, gegaran gempa bumi berkenaan turut dirasai warga Thailand manakala India, Indonesia, Kenya, Malaysia, Pulau Reunion, Sri Lanka dan Myanmar mengeluarkan amaran berjaga-jaga atau arahan mengosongkan bangunan.


MESKIPUN sudah menjalani latihan gempa bumi, namun masih ada pelajar yang berasa bimbang, takut dan menangis.


Gempa itu turut disusuli satu lagi gempa bumi yang memerlukan pihak berkuasa mengeluarkan amaran berjaga-jaga tsunami. Walau bagaimanapun gegaran kedua itu surut dan menyebabkan kerosakan minimum.

"Kami tidak panik dan tidak bertolak-tolak sesama sendiri. Kami mempraktikkan apa yang diajar dalam program latihan kecemasan.

"Meskipun sudah dilatih tetapi segelintir pelajar masih berasa bimbang, takut dan menangis. Ada yang memanggil nama ibu dan ayah bahkan ada juga menarik-narik baju saya. Bahkan, beberapa orang pelajar sesak nafas dan pengsan," tutur Rumiana, 52, seorang guru matematik.

Rakannya, guru kimia, Zahratus Safara, 50, menyatakan mereka saling berpegang tangan dan memeluk antara satu sama lain untuk menenangkan diri.

Dalam tempoh tujuh tahun sejak gelombang tsunami pada tahun 2004 yang hampir memusnahkan wilayah itu, Indonesia telah melakukan pelaburan yang tinggi untuk menyediakan peralatan pengesan awal tsunami, membina bangunan yang kukuh terhadap gempa bumi atau pengurangan bencana.

Jeumpa Puteh merupakan salah sebuah sekolah di wilayah Aceh yang terlibat dalam latihan pengurusan bencana di bawah kendalian Pusat Kajian Mitigasi Bencana Tsunami Aceh (TDMRC).

Kakitangan dan pelajar sekolah tersebut didedahkan dengan subjek bantuan kecemasan dan melakukan latihan bencana secara berkala. Ia bertujuan untuk melihat keupayaan dan persediaan mereka berdepan dengan tragedi seperti tsunami dan gempa bumi.

Di sekolah rendah Oi Blang, enam orang guru dan pelajar terselamat dalam latihan tsunami tahun 2004.

"Jika tanda-tanda gempa berlaku di atas kepala, di bawah meja, elak keluar menerusi tingkap, sebaliknya segera berlari ke kawasan lapang," nyanyi seorang pelajar berusia 12 tahun sewaktu sesi latihan bencana.


PAPAN tanda yang menunjukkan arah dan laluan yang sepatutnya digunakan orang ramai jika berlaku tsunami di Banda Aceh, Indonesia.


Semasa penggera berbunyi, mereka menutup kepala dengan buku dan beg sekolah serta segera mengatur langkah keluar dari kelas.

Selepas tragedi gempa bumi berlaku bulan lalu, lima orang penduduk mati akibat serangan jantung dan terkejut.

Koordinator TDMRC, Faisal Ilyas memberitahu gempa bumi itu membuktikan bahawa sesi latihan persediaan kecemasan perlu dilakukan dari semasa ke semasa terutamanya di sekolah.

"Puluhan ribu pelajar dan guru selamat kerana mengikut prosedur seperti yang ditetapkan. Justeru, sesi latihan wajar diteruskan kerana ini bukanlah gempa bumi yang terakhir," jelas Ilyas.

"Saya berasa takut sekiranya tanah merekah lalu saya tertimbus . Saya juga bimbang jika semua orang lain mati dan saya keseorangan. Apa yang boleh dilakukan ialah berdoa kepada Tuhan semoga semuanya selamat," jelas Koni Armandani yang berusia 15 tahun.

Fleksibiliti tubuh membentuk objek

Posted: 14 May 2012 08:13 PM PDT


Teknik lakonan fizikal menghasilkan sebuah lakonan pentas yang sangat dramatik dan mengagumkan.


INESSA IRDAYANTY KHAIRIL ANWAR tiba di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tepat pada pukul 8 malam untuk menyaksikan sebuah persembahan teater bertajuk Wayang walaupun waktu itu hujan turun mencurah-curah.

Menurut firasat wanita berusia 22 tahun itu, persembahan tersebut pasti sedang menghadapi masalah kerana sudah lewat 15 minit daripada jadual asal iaitu pada pukul 8.30 malam.

Inessa dapat melihat lampu pentas dan dewan tiba-tiba menyala secara serentak dan berkelip-kelip umpama percikan mercun. Kadangkala lampu utama pentas menyala begitu terang sehingga memedihkan mata.

Telahannya benar belaka apabila pengarah teater, Sabera Shaik muncul di tengah pentas membuat pengumuman berlaku masalah teknikal pada sistem pencahayaan.

"Saya sudah menonton dan terlibat dengan teater sejak kecil lagi. Jadi, masalah seperti itu perkara biasa," kata anak bongsu pelakon Azean Irdawaty.

Teater eksperimental

Kesabaran Inessa dan penonton lain berbaloi apabila selepas 45 minit menunggu, persembahan pun bermula.

Sehingga kini, Sabera dan pasukannya masih tidak mengetahui punca berlaku kerosakan yang berlaku pada sistem pencahayaan mereka pada malam itu.

Sebaik tamat teater Wayang, para penonton berdiri memberi tepukan gemuruh. Segala perasaan marah ketika menunggu tidak menjadi kudis kepada mereka.

Dalam keadaan teruja, Inessa berkata, Wayang begitu bijak apabila berjaya membawa kisah penceritaan berbentuk fakta dengan cara santai dan menarik.

"Jika jalan cerita yang sama dipentaskan menggunakan genre teater konvensional atau tradisional, sudah pasti membosankan.

"Hasil yang dipertontonkan sangat cantik dan bagi saya, ia benar-benar sebuah teater eksperimental," luah Inessa melontarkan idea.

Tambah pemegang diploma seni persembahan daripada Kolej SEGi Subang Jaya, Selangor itu, idea Wayang yang menggabungkan disiplin tarian dan lakonan serta diterjemah dalam bentuk bayang-bayang memberi kelainan kepada penonton sepertinya.

Dia yang meminati genre drama tidak pernah menonton teater sebegitu menarik walaupun tidak pernah ketinggalan menonton teater eksperimen sejak kecil.

Penceritaan Wayang terbahagi kepada dua. Bahagian pertama berkisar mengenai sejarah Kuala Lumpur manakala cerita kedua memaparkan kritikan sosial, perubahan sosioekonomi dan situasi terkini di ibu negara Malaysia.


ADEGAN Yap Ah Loy ketika bersidang dengan ahli perniagaan Cina ini menggunakan 100 peratus badan manusia termasuk objek perabot.


Setiap bahagian disampaikan dengan sketsa-sketsa pendek dirangkum menjadi satu. Inessa membuat kesimpulan, jika diterjemah cerita Wayang dalam bentuk teks, ia berbentuk poin.

Lari daripada stereotaip teater Malaysia yang memerlukan pelakon melontarkan skrip panjang, aktor Wayang seramai 12 orang hanya menggunakan fleksibiliti badan.

Bayang-bayang yang terbentuk pada skrin membentuk imej-imej biasa seperti kerusi, sampan dan kereta bagi menyampaikan jalan cerita.

Menggunakan teknik penceritaan pentas tradisional, wayang kulit iaitu karakter berlakon di sebalik layar putih. Wayang turut menggabungkan genre teater fizikal termasuk teknik pengurusan.

Teater fizikal boleh dikatakan masih baharu di Malaysia tetapi menurut Sabera, sebuah kumpulan teater di Amerika Syarikat (AS), Pilobolus sudah lebih tiga dekad mempopularkan genre sebegitu.

Kumpulan tersebut benar-benar sebuah kumpulan teater fizikal melalui cara penyampaian jalan cerita. Mereka mampu memuatkan 20 orang membentuk sebuah kereta selain mampu membentuk angka lapan dengan mudah.

Tetapi sebagai seorang yang sudah menonton persembahan wayang kulit sejak kecil di Kelantan, Sabera tidak mahu menceduk bulat-bulat idea tersebut sebaliknya mencantumkan idea seni Melayu dengan Barat.

Sahabat wanita lingkungan 50-an itu yang bernama Larry Reed dari San Francisco, AS juga ada membuat teater eksperimen seakan-akan sama tetapi menggunakan watak wayang kulit Bali.

Aliran persembahan pentas yang digelar sebagai teater wayang itu memerlukan ketepatan dalam semua segi seperti ketetapan masa, kejituan bentuk yang dihasilkan dan kerjasama serta keserasian antara pelakon.

Untuk masuk ke pentas sahaja, memerlukan setiap pelakon menguasai teknik berguling dengan pelbagai kaedah dari segi arah masuk dan keluar serta bentuk badan ketika gulingan dibuat.

Bebas berekspresi

Sebuah peta perjalanan di atas pentas menyerupai huruf V di buat bagi memudahkan pelakon bergerak manakala kedudukan aktor ditandai dengan kod warna.

Setiap pelakon harus mengingati setiap adegan, peranan, arah masuk, warna kedudukan dan isyarat keluar serta masuk pentas dalam satu masa.

"Kedudukan amat penting kerana skrin layar boleh menghasilkan imej yang sangat 'kuat'. Sedikit pergerakan boleh dilihat dengan mudah oleh penonton.

"Sebagai contoh, jika pelakon yang membentuk imej kereta tidak berada pada kedudukan betul, bayang kereta yang terhasil kelihatan renggang," terang Sabera ketika ditemui di pejabat Masakini Theater, Kuala Lumpur.

Pada asasnya, jika pelakon terlalu jauh daripada skrin, imej yang terhasil sangat besar manakala dekat pula menyebabkan karakter yang terpancar menjadi kemetot.

Menurut Sabera, pelakon diberikan kebebasan berekspresi sepenuhnya melalui tubuh badan ketika sesi latihan berbekalkan ringkasan cerita pada babak yang mahu dilakonkan.

Subteks melalui gestur dan pergerakan badan sahaja dipertontonkan. Teks yang minimum digunakan melalui pencerita.

Jika pelakon menghadapi kesukaran untuk menggambarkan perasaan melalui tubuh badan. Sabera akan memberi sebaris dialog untuk digunakan semasa latihan. Apabila perasaan yang dikehendaki dapat dikuasai, semua dialog akan dibuang.

Penambahbaikan dibenarkan sepanjang sesi latihan. Tetapi tegas Sabera, para pelakon tidak dibenarkan sama sekali melakukan apa-apa gerakan secara spontan ketika persembahan.

Selain memerlukan fleksibiliti tubuh badan pelakon, Wayang turut menggunakan teknik bayang-bayang tangan (shadowgraphy) bagi membentuk haiwan-haiwan kecil seperti burung terbang atau sedang bertenggek.

Shadowgraphy merupakan sejenis persembahan seni yang menggunakan tangan membentuk bayang-bayang dalam menyampaikan jalan cerita.

Dari sudut kemahiran berlakon, aktor seperti Az'farr Baginda, 29, mahukan sebuah watak yang boleh mencabar diri dan berbeza.

Tidak mahu terperangkap dalam karakter yang sama, Az'farr lantas mengakui Wayang mengajarnya banyak perkara terutama bahasa tubuh.

Kini, dengan ilmu yang dikutip bersama-sama kumpulan Wayang, dia dapat mengaplikasi kemahiran tersebut pada produksi teater lain.

Paling bermanfaat adalah ketika menyebut dialog. Pengucapan dialog tidak lagi membosankan kerana ditambah dengan elemen bahasa tubuh.

Akui Az'farr, paparan emosi dalam lakonannya kini tidak terhad pada permainan suara, malah gaya bahasa tubuh turut dalam diperkaya.

Sudah terlibat dalam bidang teater berbahasa Inggeris lebih enam tahun, Wayang mencabar dirinya dalam membina karakter baik watak manusia ataupun objek.

Bukan seorang penari yang memiliki badan mudah lentur, Az'farr bergelut untuk melakukan pelbagai aksi terutama apabila kumpulan penari daripada Dua Space Dance Theatre mula menyertai mereka.

"Pengarah (Sabera) pula sangat tegas dalam sesi latihan. Kami diberi masa seminggu bagi membuktikan layak melakukan sesuatu komposisi bayang-bayang.

"Jika gagal dalam tempoh yang diberikan, tempat kita akan diganti dengan orang lain," luah lelaki yang berkelulusan sarjana dalam bidang undang-undang itu.

Sesi latihan

Wayang merupakan sebuah persembahan yang menyaksikan anak kelahiran Kuala Lumpur itu melakonkan banyak watak seperti Sir Gerald Templer, Sir William Treacher, ahli perniagaan berbangsa Cina dan kongsi gelap Cina selain orang ramai.

Antara objek yang dilakonkan oleh lelaki itu pula ialah mangkuk tandas, kereta lembu, Istana Negara, bahagian depan vespa dan sungai.

Kata Az'farr, sesi latihan Wayang sangat memenatkan dan berpanjangan. Tempoh masa latihan teater konvensional boleh mencapai tiga bulan dengan jadual latihan antara empat hingga lima kali seminggu.

Tetapi, Wayang mengambil masa minimum empat bulan. Cerita Az'farr, mereka tetap meneruskan latihan untuk membaiki skil dan bereksperimen mendapatkan imej bayang-bayang terbaik antara waktu selepas tamat persembahan Wayang 1 hingga latihan intensif untuk persembahan Wayang lalu.

Wayang 1 merupakan sebuah persembahan pada bulan Mei 2011 yang hanya memaparkan hasil imej bayang-bayang tanpa cerita.

Sabera yang baru pulang dari Rusia untuk mendalami skil lakonan fizikal bakal menerbitkan wayang ketiga. Wayang kali ini akan memaparkan cerita pendek selama 15 minit setiap satu pada bulan November ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories